USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AHLI AKADEMIK USM PERKENAL INOVASI MUDAH MENGHALAU AEDES

8C7DE9AD 0FDD 44B4 8644 4339DAF115A2

SG. DUA, PULAU PINANG, 31 Januari 2023 - Pensyarah dan penyelidik kawalan vektor dan penyakit bawaan nyamuk terutamanya Aedes dan Culex di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nur Faeza Abu Kassim memperkenalkan inovasi baharu dalam mencegah nyamuk Aedes.

"Kita memperkenalkan umpan BioGel iaitu manik hidrogel yang mampu menarik dan membunuh nyamuk serta penggunaan tumbuhan tempatan untuk menghalau nyamuk Aedes,” kata Nur Faeza yang ditemui dalam Program COMBI Lawan Denggi 2023 dan Pertandingan Kutip Sampah Berpasukan di Perkarangan Flat Hamna, Sungai Dua, Pulau Pinang baru-baru ini.

E65CE372 3357 41F6 A5C6 41DFBACA4421

Seramai kira-kira 400 orang penduduk mengambil bahagian dalam program ini.

346C3D96 5743 497A 9E67 89A114EBEA20

Menurut beliau, BioGel Bait menggunakan "sugar bait technology" iaitu memanipulasikan cara pemakanan vektor (feeding behaviour) bertindak dengan kaedah ‘attract and kill’ untuk memusnahkan nyamuk Aedes iaitu vektor demam denggi dalam semua peringkat kitar hidup termasuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

"Biogel Bait berasaskan campuran ekstrak tumbuh-tumbuhan tempatan ialah salah satu kaedah kawalan secara biologi yang bersifat mesra alam sekitar dan selamat kepada manusia serta haiwan,” kata Nur Faeza.

Jelas beliau lagi BioGel ini mudah digunakan, mesra pengguna malah rendah kos pembuatan sesuai digunakan di dalam dan luar kawasan rumah yang boleh diperolehi dengan harga RM10.00 untuk sebulan penggunaannya

Turut diperkenalkan ialah penggunaan Pokok Herba Anti-Aedes iaitu Limau Kasturi, Pokok Basil dan Pokok Pudina melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian.

"Yang paling berkesan dan mudah setakat ini ialah pokok basil yang selalunya dijadikan ulam manakala limau kasturi dan pudina memerlukan umur tertentu untuk berupaya menghalau nyamuk Aedes,” kata Nur Faeza yang telah lebih 15 tahun terlibat dalam kajian berkaitan.

Jelasnya, tumbuhan-tumbuhan ini dipilih berdasarkan kajian yang telah lama dijalankan terhadap penggunaannya untuk menghalau nyamuk namun memerlukan kajian semula untuk mendapat maklumat yang lebih terperinci misalnya berapa lama, berapa jarak dan berapa banyak pokok yang diperlukan untuk memastikan ia berkesan.

78D5CBEB 0715 4DA4 9D05 66E2C9C7C5AB

Menurut Nur Faeza, namun begitu untuk mencegah nyamuk Aedes, kaedah Pengurusan Kawalan Vektor Bersepadu adalah penting yang melibatkan sokongan orang ramai menjaga kebersihan dan tidak membiarkan air bertakung yang membolehkan nyamuk Aedes membiak.

Nyamuk Aedes merupakan ancaman kepada kesihatan awam di negara ini yang jangkitannya boleh membawa maut.

Nur Faeza adalah Pengerusi COMBI Negeri Pulau Pinang. COMBI ialah singkatan bagi “Communication for Behavioural Impact” atau “Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku,” yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2001 sebagai salah satu strategi untuk menangani masalah Denggi di Malaysia.

COMBI merupakan satu pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi untuk mempengaruhi individu, keluarga dan komuniti ke arah perubahan tingkah laku yang sihat.

Hadir sama adalah Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Arifin; ADUN Batu Uban, Kumaresan Arumugam dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Dua, Zulfadzli Md Noordin.

Teks: Mohamad Abdullah & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Ebrahim Abd Manan & Nirmaryadi Rashid 

  • Created on .
  • Hits: 675

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024