TERAS KEPERCAYAAN - USM SAMBUT BAIK PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2023 YBM KPT
PUTRAJAYA, 30 Januari 2023 – Teras Kepercayaan akan menjadi nilai fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana rakyat Malaysia mesti percaya kepada sistem pendidikan tinggi nasional agar ianya dihormati.
Demikian ujar Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 beliau yang berlangsung hari ini di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut beliau, teras utama ini menjadi panduan bagi memacu pendidikan tinggi kerana ia adalah alat utama yang perlu diberi penekanan terutamanya keyakinan daripada rakyat kepada pihak kerajaan ammya dan pendidikan tinggi khususnya.
“Selain itu, segala yang dilakukan di KPT dan semua agensi di bawahnya menterjemahkan aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat,” tambah beliau yang seterusnya menyatakan penubuhan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional yang berperanan sebagai alat untuk pemerkasaan KPT.
Mengulas lanjut, beliau turut berkongsi tugasan utama Naib Canselor IPT yang perlu diberi penekanan iaitu i) menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional; ii) membangunkan pelbagai jaringan strategik untuk kepentingan universiti; iii) meraih dana, waqaf, endowment, infak dan apa jua sumbangan, material dan bukan material bagi memastikan universiti berfungsi sebaiknya; dan iv) membongkar potensi dan kebijaksanaan setiap warga universiti.
Di akhir perutusannya, beliau menekankan bahawa mesej utamanya hanyalah dua iaitu pertama, untuk pendidikan tinggi dipercayai semula dan kedua, bersungguh-sungguh melakukan segala perubahan yang diperlukan.
Khaled turut menyatakan bahawa 11 azam, hasrat, tekad dan fokus yang beliau kongsikan ini hanyalah satu permulaan namun, beliau berharap segala fokus tersebut akan menjadi permulaan yang baik untuk semua melonjakkan sektor pendidikan tinggi ke tahap yang meyakinkan.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyambut baik perutusan yang disampaikan pada hari ini dan menyatakan bahawa USM akan bergerak seiring dengan matlamat KPT untuk memperkasakan pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih baik.
“USM mengambil segala input dan intipati perutusan tahun baharu ini dan akan merangka strategi dan formula terbaik untuk memacu USM ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.
Perutusan kali ini merupakan yang pertama buat Khaled yang baru memegang semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi pada Disember yang lalu. Beliau pernah memegang jawatan yang sama sebagai Menteri Pengajian Tinggi pada 2008-2013.
Bersama menyaksikan perutusan ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Mohammad Yusof Bin Apdal; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) KPT, Ketua-ketua Pengarah Jabatan dan Agensi, Pengerusi-Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Ahli-ahli Majlis-Majlis Perwakilan Pelajar.
Turut hadir sama mewakili USM ialah Pengerusi Lembaga Gabenor, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Afirul Idris Ayub Khan.
Majlis Perutusan Tahun Baharu ini turut dipancarkan secara siaran langsung melalui laman media sosial Facebook KPT dan juga diadakan melalui dalam talian bersama 20 IPT lain dan juga institusi-institusi pendidikan yang berkaitan.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 662