PESTA KEBUDAYAAN DAN KESENIAN USM 2022: PLATFORM TERBAIK GENERASI MUDA HAYATI WARISAN DAN BUDAYA MASYARAKAT BERBILANG KAUM
USM PULAU PINANG, 30 Disember 2022 – Setelah dua tahun terikat dengan keterbatasan dalam pelaksanaan program besar-besaran secara bersemuka berikutan pandemik COVID-19, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini kembali menganjurkan Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022.
Majlis perasmian Pesta tersebut yang berlangsung pada sebelah malam telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di Padang Kawad USM, dan mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan iaitu dihadiri lebih 3,000 penonton.
Bertemakan ‘Retro Memoir’ dan berpegang kepada nilai teras ‘Uphold the Colours of Culture’, pesta pada tahun ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda untuk menghayati budaya berbilang kaum agar mereka mengingati dan mewarisi keunikan budaya mereka sendiri.
Menurut Kon Yeow, beliau yakin penganjuran Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022 ini dapat melahirkan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin dalam menghidupkan semula warisan kesenian Tionghua yang kian terhakis.
“Program seperti ini juga mampu membantu menyediakan platform dan landasan yang terbaik kepada para siswa siswi untuk memupuk dan meningkatkan semangat toleransi, sekaligus mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin.
“Semoga Pesta Kebudayaan dan Kesenian ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun yang akan datang sekaligus meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya untuk bersama-sama membina bangsa Malaysia yang cinta akan warisan seni budaya,” kata beliau.
Kata beliau lagi, “pihak Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penganjuran program sedemikian, yang sememangnya selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mengangkat dan memartabatkan peranan kesenian dan kebudayaan dalam usaha memperkayakan warisan negeri.”
Sementara itu, wakil Naib Canselor USM, Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli dalam ucapannya berkata, tema pesta ini telah menyamakan atribut Pemikiran Saintifik dan Apresiasi Seni di bawah elemen ‘Balanced’ dalam agenda HEBAT.
“Hal ini bertepatan dengan hasrat pihak universiti untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dalam apa jua bidang dari aspek akademik dan kokurikulum serta mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.
“Jelaslah bahawa pesta ini berupaya menjadi medium yang terbaik untuk mahasiswa mahasiswi menerokai pengalaman baharu, mempelbagaikan kebolehan agar kebolehdayasaingan kendiri dipertingkatkan, dan saya amat menggalakkan mahasiswa mahasiswi aktif melibatkan diri dalam aktiviti sebegini demi memajukan bangsa dan memupuk inovasi kendiri,” tambah Ramnah.
Pengarah Projek, Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022, Ng Jun Ming pula menyeru semua mahasiswa mahasiswi serta masyarakat umum untuk menghayati kebudayaan dan kesenian yang merupakan khazanah daripada nenek moyang, kerana baginya sebagai anggota generasi baharu, tanggungjawab mewarisi serta mempromosikan budaya dan seni harus dipikul bersama-sama.
Para hadirin turut disajikan dengan pelbagai persembahan berunsur kebudayaan yang cukup menarik dan memukau perhatian termasuk persembahan tarian tradisional dari Kumpulan Kesenian Adikarma USM.
Hadir sama adalah Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM merangkap Penasihat SKKT USM, Tan Ewe Hoe; Yang di-Pertua SKKT USM, Sydney Lim Xin Ni, pegawai-pegawai utama universiti dan para penaja.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 547