PROGRAM LIFE IN UNIVERSITY RAI PELAJAR SPM PULAU PINANG
USM Pulau Pinang, 26 Januari 2023 - Seramai lebih 600 murid SPM 2022 daripada 15 buah sekolah di sekitar Pulau Pinang diraikan hari ini yang bakal menduduki peperiksaan tersebut pada hujung bulan Februari tahun ini.
Menurut Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, para pelajar akan berada di sekitar kampus USM pada hari ini untuk mengikuti program motivasi dan juga sesi lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar kampus induk USM.
“USM sentiasa mendukung misi APEX (Accelerated Programme of Excellence) dengan 9 Nilai Terasnya yang menfokuskan kepada Keilmuan, Masa Hadapan, Kelainan, Kelestarian, Kemanusiaan, Kesejagatan, Perubahan, Pengorbanan dan Kesejahteraan,” jelasnya yang baru dilantik memegang jawatan Naib Canselor USM tahun ini.
Tegasnya, Antara fokus USM adalah bertumpu untuk mengupayakan bakat (talent) dan komuniti golongan terkebawah B40 demi mentransformasikan kebajikan sosial-ekonomi mereka sebagai agenda penting USM, di mana testimoninya telah membuktikan kemampuan USM apabila tersenarai dalam kedudukan ke-4 di dunia yang mempraktikkan pelbagai inisiatif berkaitan SDG/Kelestarian.
Beliau juga berkata ketika beliau menerajui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM sebagai Timbalab Naib Canselor, beliau sentiasa mengambil berat serta menumpukan perhatian terhadap aktiviti kemasyarakatan dan CSR yang dilaksanakan, terutamanya mengupayakan golongan B40 dalam kalangan pelajar di kampus melalui lantikan 410 pelajar USM sebagai ‘coaches’ sepanjang Program empowerNCER: Akademik Pulau Pinang ini, selain projek-projek tajaan “Teraju” dan lain-lain agensi dalam aspek keusahawanan golongan terkebawah.
“Kejayaan pelajar SPM 2020 seramai 300 orang dan SPM 2021 seramai 1000 orang adalah suatu usaha murni dan cemerlang yang turut dibanggakan oleh USM bersama pembiaya iaitu NCIA dan kini seramai 600 akan menduduki SPM 2022 dengan NCIA dan Yayasan PETRONAS sebagai pembiaya,” katanya lagi ketika merasmikan Program Life in University Program empowerNCER: Akademik Pulau Pinang 2022/2023 hari ini di Dewan Utama Desasiswa USM.
Beliau juga berharap NCER dan Yayasan PETRONAS akan terus memberikan kepercayaan kepada USM dengan pembiayaan bagi meneruskan agenda pengupayaan murid dalam kalangan keluarga B40 agar mendapat akses kepada pendidikan bermutu dan seterusnya meneruskan pengajian tinggi kelak.
“Saya berharap agar semua yang terlibat dapat mengambil kesempatan pada hari ini, mendengar dengan teliti pengisian program motivasi dan riadah yang telah dirancang dengan baik ini.
“Saya sendiri telah meletakkan program menyokong keperluan golongan B40 seperti ini sebagai priority sejajar dengan kehendak dan hasrat pihak KPT dan Alhamdulillah, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi amat prihatin dengan usaha mengupayakan golongan B40 dan program-program seperti ini amat dialu-alukan,” jelas lanjutnya lagi.
Kolaborasi dan kejayaan program ini adalah kerjasama antara NCER, Yayasan Petronas, USAINS, JPN Negeri Pulau Pinang, Pejabat Pendidikan Daerah, Celcom Axiata, 15 buah sekolah yang terlibat, Ibu bapa dan para guru sekalian, Pegawai-pegawai dan staf saya di USM.
Turut hadir sama adalah Ketua Wilayah, Pulau Pinang & Perak Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Encik Fauzan Bin Ismail; Ketua PETRONAS Wilayah Utara dan Tengah Encik Zulkifli Othman; Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Holding Sdn. Bhd. Merangkap Penasihat Program empowerNCER Akademik Pulau Pinang Encik Farid Wajidi Mat Yusoff; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Tuan Abdul Said Hussain; Felo Penyelidik Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat Merangkap Ketua Program empowerNCER Akademik Pulau Pinang Tuan Syed Yusof Syed Kechik dan Felo Penyelidik Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat Merangkap Ketua Program Bersama empowerNCER Akademik Pulau Pinang Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail;
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 607