KIMASU 2022 PUPUK SEMANGAT KEPIMPINAN DAN BELIA ANTI RASUAH
USM Pulau Pinang, 25 Januari 2023 – Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Jabatan Premier Sarawak (UNIONS) baru-baru ini telah menganjurkan satu Kem Integriti Mahasiswa Universiti 2022 (KIMASU).
Kem yang dijalankan selama 3 hari ini disertai oleh Majlis Tertinggi PERKASA, Exco dan Pembantu Exco PERKASA, anak-anak Sarawak dan anak-anak negeri lain. Terdapat pelbagai program diadakan sepanjang berlangsungnya kem ini iaitu seminar-seminar berkaitan rasuah dan integriti, jamuan makan malam dan aktiviti sukaneka.
Penutup KIMASU telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YB Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya sewaktu Majlis Makan Malam Anak Sarawak pada 16 Disember 2022.
“Pada kebelakangan ini, dapatan kajian dan data mengenai rasuah di Malaysia yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa agensi lain menunjukkan trend membimbangkan terutamanya yang melibatkan generasi muda termasuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT),” ujar Juanda Jaya.
Katanya lagi, statistik SPRM menunjukkan bahawa seramai 275 belia termasuk pelajar IPT dan kakitangan awam ditahan SPRM sejak 2020 kerana terlibat dengan rasuah. Daripada jumlah itu, 21 orang belia berusia antara 18 hingga 23 tahun, manakala 254 lagi berusia antara 24 hingga 30 tahun.
“Statistik ini merupakan wake-up call kepada kita kerana ada di antara belia yang terbabit merupakan pelajar IPT. Ini jelas menunjukkan belia sebenarnya agak mudah terperangkap dalam godaan dan gejala rasuah.
“Saya berharap dengan adanya program KIMASU ini, pelajar USM dapat mengetahui lebih mendalam mengenai integriti, mengukuhkan asas moral dan jati diri serta melahirkan sifat benci akan rasuah. Semoga kita semua dapat mengaplikasikannya dalam aspek kehidupan seharian,” katanya sebagai mengakhiri ucapan perasmiannya di majlis ini.
Sementara itu, Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi mewakili Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor turut mengucapkan tahniah kepada PERKASA atas penganjuran KIMASU yang julung kalinya diadakan USM.
“Saya mengharapkan hubungan baik antara kerajaan negeri Sarawak dan USM berkekalan demi masa depan mahasiswa dan mahasiswi Sarawak yang belajar di sini,” katanya.
Hadir sama ke majlis ini adalah Wakil Pengarah UNIONS, Encik Wan Mohamad Wan Drahman; Wakil Pengarah SPRM Pulau Pinang, Encik Syaiful Nizam; penasihat-penasihat PERKASA USM; pegawai-pegawai utama UNIONS dan pegawai-pegawai utama USM.
Teks : Nurhidayah Shahbuddin
- Created on .
- Hits: 513