USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR GLOBAL MALAYSIAN ASTRONOMERS CONVENTION (GMAC) 2023 – PENANG ROADSHOW

USM 3822

USM PULAU PINANG, 25 Januari 2023 - Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menjadi tuan rumah penganjuran Global Malaysian Astronomers Convention (GMAC) 2023 – Penang Roadshow yang telah diadakan di Dewan Pembangunan Siswa dan Lantai Seni, Kompleks Cahaya Siswa, USM.

Tiga buah negeri di seluruh Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah jerayawara tersebut iaitu Johor, Sabah dan Pulau Pinang.

PPSF USM, Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang (ASP), Kelab Astronomi USM (KAUSM) dan Persatuan Sains Fizik (PSF) USM telah bekerjasama sebagai tuan rumah penganjuran jerayawara astronomi pada peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan pada 14 Januari 2023.

Antara aktiviti yang berlangsung termasuk pelbagai syarahan dari ahli astronomi Malaysia serta peserta dari dalam dan luar negara, pameran astronomi oleh pertubuhan astronomi tempatan, forum perbincangan dengan ahli astronomi, pencerapan bintang dan gerai makanan. Program ini juga turut dibuka kepada semua lapisan masyarakat di Pulau Pinang.
 

USM 3891


Program GMAC 2023-Penang Roadshow merupakan kesinambungan kepada program persidangan antarabangsa Global Malaysian Astronomers Convention (GMAC) 2023 yang bertemakan “Satu Bangsa, Satu Dunia, Satu Langit: Astronomi se-Malaysia” akan berlangsung di Planetarium Negara, Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 Januari 2023.

Program ini mempunyai beberapa objektif iaitu untuk Menjayakan usaha untuk menjalinkan perhubungan antara ahli astronomi akademik, ahli falak, ahli astronomi amatur dan peminat astronomi bagi menyambut aktiviti astronomi bersama-sama; Meningkatkan kesedaran penyelidikan, program pendidikan dan aktiviti astronomi yang sedang dilakukan oleh ahli-ahli astronomi di Malaysia, dan menggalakkan pelajar-pelajar untuk menceburi bidang astronomi pada peringkat universiti; serta Menjayakan kerjasama antara orang awam, sekolah, agensi kerajaan, NGO dan universiti dalam penganjuran aktiviti-aktiviti astronomi di Malaysia pada masa kelak
 
Program ini telah dirasmikan oleh Dekan, Pusat Pengajian Sains Fizik, Profesor Dr. Abdul Razak Ibrahim.

Beliau dalam ucapan alu-aluannya amat berbesar hati dan mengalu-alukan tetamu dan peserta terhormat yang hadir ke program tersebut.

“Astronomi adalah salah satu sains tertua dalam sejarah umat manusia. Rekod pertama aktiviti astronomi telah ditulis lebih daripada 5000 tahun yang lalu, di mana orang Babylon purba merekodkan variasi cahaya siang dalam setahun, dan masa naik bintang Zuhrah di langit malam,” jelasnya.

Tambahnya, tamadun purba yang berbeza seperti Arab, Cina dan India turut memainkan peranan dalam memajukan astronomi, tetapi kajian tentang angkasa di langit kekal sebagai teori sehinggalah penemuan teleskop pada tahun 1600-an oleh Galileo Galilei.

“Sejak penemuan itu, kemajuan ilmu astronomi telah berkembang pesat, dan kebanyakan fakta menakjubkan yang kita ketahui tentang alam semesta, seperti kerelatifan ruang dan masa, pengembangan alam semesta serta penemuan gelombang graviti hanya diketahui dan dilaporkan dalam tempoh 100 tahun yang lalu” katanya.

USM 3917

Jelasnya lagi, astronomi sebenarnya adalah cabang fizik, dan Pusat Pengajian Fizik USM telah memainkan peranan yang besar dalam mempromosikan dan memajukan pendidikan astronomi di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia. Selain menjadi satu-satunya universiti di Malaysia yang menyediakan pengajian dalam bidang astronomi, USM juga merupakan salah satu perintis program jangkauan astronomi berskala besar.

Dua nama besar iaitu Dr. Chong Hon Yew dan Dr. Abdul Halim Abdul Aziz, adalah merupakan perintis dalam bidang astronomi di Pusat Pengajian Fizik sebelum mereka bersara baru-baru ini.

“Dr. Chong telah memulakan Kelab Astronomi USM pada tahun 1986, serta telah menganjurkan pesta cerapan bintang terbesar yang pernah ada di Malaysia pada tahun 2005. Dr. Abdul Halim pula adalah pakar dalam falak dan astronomi Islam serta telah memberikan ceramah astronomi yang tidak terkira di seluruh Malaysia,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, pada hari ini, USM masih sangat aktif dalam pendidikan astronomi. Setiap beberapa bulan, pasukan pensyarah dan kakitangan PPSF dari Unit Penyelidikan Astronomi dan Sains Atmosfera (UPIFSA) akan memberi ceramah dan mengadakan rancangan planetarium di banyak sekolah rendah dan menengah. Malah, sepanjang bulan Disember yang lalu pasukan ini telah mengadakan pertunjukan planetarium di Pesta Pulau Pinang pada setiap malam sepanjang pesta tersebut berlangsung.

“Diharapkan dengan pendedahan yang hebat mengenai aktiviti astronomi, pameran dan ceramah kepada orang ramai, akan memberi inspirasi kepada ramai peserta muda untuk menjadi ahli astronomi dan ahli astrofizik masa depan. Saya juga berharap orang ramai menghargai kepentingan penyelidikan dan pendidikan astronomi untuk masa depan manusia,” ujarnya lagi ketika mengakhiri ucapan.
 
Program GMAC 2023-Penang Roadshow telah diisi dengan pelbagai acara seperti pameran, cerapan bintang dan ceramah dari beberapa pakar yang berkecimpung dalam bidang astronomi seperti  Dr. Kevin Koay Jun Yi, Support astronomer, Academia Sinica Institute of Astronomy and Astrophysics (ASIAA), Taiwan yang menyampaikan ceramah bertajuk “Reaching for the Stars: A Career in Astronomy”, En. Mohd. Zulhelmi Mohd. Yusof, Pegawai Sains dari Pusat Falak Sheikh Tahir (PFST) yang menyampaikan ceramah “Pusat Falak Sheikh Tahir in Astronomy Community Education and Research: Impact and Future Trajectory”,  Dr. Mah Jingyi, Penyelidik Posdoktoral, Max Planck Institute for Astronomy (MPIA), Germany yang menyampaikan ceramah “Flavourful Exoplanets and How to Form Them” dan En. Lai Hoong Chuin, Pelajar Ijazah Kedoktoran dari Beihang University, China yang menyampaikan ceramah “Rapid Space Technology Development: How It Affects Astronomical Activities”?.
 
Turut diadakan forum “An Evening with Astronomers” sebagai penutup GMAC 2023 - Penang Roadshow. Ahli panel forum terdiri dari Dr. Paul T. P. Ho, Director General, East Asian Observatory (EAO), Hawaii, Dr. Chong Hon Yew, President, Astronomical Society of Penang (ASP), Dr. Abdul Halim AbduL Aziz, Profesor Kehormat, Pusat Pengajian Sains Fizik, USM, dan Dr. Kevin Koay Jun Yi, Support astronomer, Academia Sinica Institute of Astronomy and Astrophysics (ASIAA), Taiwan.

Teks : Zamzami Rasidi

  • Created on .
  • Hits: 726

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024