USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN SEBAGAI RUJUKAN LENGKAP PENENTU HALA TUJU PENDIDIKAN NEGARA MENDEPANI CABARAN MASA HADAPAN

325384119 725637268841314 2298084933897235504 n

USM PULAU PINANG, 13 Januari 2022 – Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan satu program ceramah umum siri S.M. Mohamed Idris Memorial Lecture 2, bertempat di Dewan Persidangan Universiti, di sini.

Ceramah tersebut yang bertajuk ‘Futures of Education’ telah disampaikan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang juga mantan Naib Canselor USM yang kelima.

Dzulkifli memulakan ceramahnya dengan menyentuh secara ringkas tentang S.M. Mohamed Idris, mantan Presiden SAM (Sahabat Alam Malaysia) dan CAP (Consumers Association of Penang), dua badan bukan kerajaan yang aktif memperjuangkan isu-isu berkaitan alam sekitar dan kepenggunaan.

“S.M. Mohamed Idris merupakan seorang aktivis berkaitan hak pengguna, pemeliharaan alam sekitar dan hak pekerja sewaktu hayatnya, selain amat prihatin tentang hal-hal golongan miskin dan terpinggir,” katanya.

Seterusnya Dzulkifli menekankan kepentingan untuk melihat kembali bidang pendidikan, terutama di dalam suasana ketidaktentuan dunia pasca pandemik/endemik.

Menurutnya, suasana dunia yang bergejolak (Volatile), tidak pasti (Uncertainty), kompleks (Complex) dan tidak jelas (Ambiguity) atau VUCA memerlukan sistem pendidikan yang mampu mewujudkan keseimbangan kepada manusia dan persekitarannya.

Baginya, tidak cukup untuk hanya memberi tumpuan pembangunan ke arah Revolusi Industri 4.0 (4IR) sekiranya masalah berkaitan pandemik atau revolusi terdahulu tidak mampu ditangani sebaik mungkin.

Beliau menyebut tentang pentingnya ‘menginsankan’ pendidikan dan masyarakat, sebagaimana yang disebut juga oleh pihak UNESCO-HE berkaitan pendidikan tinggi.

“Ia bukan hanya berkisar tentang modal insan, tetapi lebih ke arah memberi nilai dan makna dalam kehidupan yang lebih lestari,” jelasnya.

Di sini Dzulkifli menyebut betapa Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah lebih dahulu menekankan pembentukan individu yang seimbang dan harmonis melalui pendidikan. Bukan hanya sekadar menekankan penggunaan teknologi yang akan menimbulkan pelbagai masalah lain seperti masalah kesihatan mental dan kemurungan.

Dzulkifli juga memberi contoh dari buku-buku tentang 4IR dan yang membayangkan keruntuhan tamadun Barat.

Katanya, sejak usaha pembangunan acuan Barat dilaksanakan, telah dapat direkodkan peningkatan guna sumber dari pelbagai aspek alam sekitar, kenderaan dan ekonomi.

Tegas beliau, dunia tidak seharusnya meneruskan usaha membangun secara konvensional, dengan hanya melihat pertumbuhan ekonomi dan pendapatan melalui usaha industrialisasi dan aktiviti pengkomersilan.

“Perlu ada usaha yang bermatlamat ke arah mewujudkan suasana sejahtera melalui pendidikan yang berterusan, bersepadu dan menyeluruh, sepertimana yang telah digariskan lebih awal lagi dalam FPK,” tambah Dzulkifli.

Turut hadir adalah Pengerusi Think City, Dato’ Seri Dr. Anwar Fazal; Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader; pegawai-pegawai utama universiti serta ahli-ahli akademik, wakil-wakil dari CAP dan orang awam.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 485

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024