USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADILAH YANG TERBAIK DALAM APA JUA BIDANG YANG DICEBURI

USME8263

USM PULAU PINANG, 10 Disember 2022 – Jadilah yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi, pesan Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dato’ Dr. Jegathesan Manikavasagam kepada sejumlah 817 orang graduan yang menerima ijazah sarjana muda dalam bidang-bidang Kejuruteraan, Sains (Jarak Jauh) dan Sastera (Jarak Jauh) di Sidang Kelapan, Konvokesyen ke-60 USM yang telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di sini.

Beliau mengingatkan para graduan agar menjadi graduan, alumni dan ahli masyarakat yang terbaik melalui pembacaan puisi ‘Be the Best of Whatever You Are’ yang ditulis Douglas Malloch, seorang penyair dan penulis terkenal Amerika Syarikat.

“Jadilah juga seorang yang berguna dan membawa kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan negara,” pesan beliau lagi.

Di dalam ucapan beliau, Jegathesan telah menyatakan perasaan bangga dan gembira melihat kejayaan para graduan. Ujar beliau lagi, perasaan tersebut juga pastinya dikongsi bersama ibu bapa, para pensyarah dan kesemua mereka yang telah menyokong segala usaha para graduan.

Beliau juga berpesan kepada para graduan supaya tidak melupakan jasa dan sokongan kesemua pihak yang telah membantu dalam proses melengkapkan pengajian mereka dari peringkat sekolah sehingga universiti.

 K4A3282

“Teruskan semangat kebersamaan anda sebagai ahli alumni,” kata Jegathesan yang mengharapkan setiap graduan akan terus bersama-sama dengan universiti nanti dalam mencorakkan masa depan institusi tercinta ini.

Antara penerima ijazah secara pendidikan jarak jauh (JJ) adalah Dr. Nur Intan Raihana Ruhaiyem. Berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Pusat Pengajian Sains Komputer di USM, beliau hari ini pula telah menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Jarak Jauh).

Konvokesyen ke-60 USM sedang berlangsung, bermula dari 3-14 Disember 2022.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 401

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024