USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESTA KEBUDAYAAN DAN KESENIAN USM 2022: PLATFORM TERBAIK GENERASI MUDA HAYATI WARISAN DAN BUDAYA MASYARAKAT BERBILANG KAUM

USM PULAU PINANG, 30 Disember 2022 – Setelah dua tahun terikat dengan keterbatasan dalam pelaksanaan program besar-besaran secara bersemuka berikutan pandemik COVID-19, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini kembali menganjurkan Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022.

Majlis perasmian Pesta tersebut yang berlangsung pada sebelah malam telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di Padang Kawad USM, dan mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan iaitu dihadiri lebih 3,000 penonton.

Bertemakan ‘Retro Memoir’ dan berpegang kepada nilai teras ‘Uphold the Colours of Culture’, pesta pada tahun ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda untuk menghayati budaya berbilang kaum agar mereka mengingati dan mewarisi keunikan budaya masing-masing.

Penglibatan mahasiswa dan mahasiswi USM dalam penganjuran program seumpama ini sentiasa digalakkan oleh pihak Universiti kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk memupuk dan menerapkan atribut H.E.B.A.T. untuk meningkatkan nilai kebolehpasaran dan jati diri mereka, yang mana nilai ini sangat penting bagi membangunkan dan mempersiapkan modal insan yang holistik ke arah generasi berwibawa untuk menerajui negara pada masa depan.

Program seperti ini juga mampu membantu menyediakan platform dan landasan yang terbaik kepada para siswa siswi untuk memupuk dan meningkatkan semangat toleransi, sekaligus mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin.

Para hadirin turut disajikan dengan pelbagai persembahan berunsur kebudayaan yang cukup menarik dan memukau perhatian termasuk persembahan tarian tradisional dari Kumpulan Kesenian Adikarma USM.

Hadir sama adalah wakil Naib Canselor USM iaitu Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli; Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM, Tan Ewe Hoe; Yang di-Pertua SKKT USM, Sydney Lim Xin Ni; Pengarah Projek, Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2022, Ng Jun Ming dan pegawai-pegawai utama USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 386

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024