USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SYARAHAN UMUM: DUA PROFESOR USM BERKONGSI PERJALANAN MENCAPAI KEGEMILANGAN SEBAGAI PROFESOR DI SOM

USM PULAU PINANG, 29 Disember 2022 – Pusat Pengajian Pengurusan (SOM), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor melibatkan Dekan SOM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad dan Profesor Dr. Hooy Chee Wooi di Dewan Persidangan Universiti (DPU) USM.

Syarahan Noor Hazlina menyentuh tentang Keusahawanan Bricolage: Kedayatahanan Mendepani Ketidaktentuan, yang menerangkan konsep Bricolage, iaitu merupakan terma Perancis yang merujuk kepada penggunaan sumber sedia ada untuk menyelesaikan masalah dan cabaran yang dihadapi secara kreatif dalam persekitaran yang tidak menentu.

Dalam sesi syarahan itu, Noor Hazlina menerangkan lanjut tentang pendekatan Bricolage, menyenaraikan empat kemahiran yang berfungsi sebagai asas untuk keupayaan Bricolage, impak Bricolage, dan kesimpulan kepada keseluruhan aplikasi pendekatan Bricolage.

Hooy pula mengupas tentang Pemodelan Risiko dan Pengambilan Risiko Pengurusan, menceritakan mengenai pengambilan dan penilaian risiko dalam bidang kewangan yang mana tumpuan bidang kewangan adalah khusus kepada ilmu penggunaan wang, dan beliau turut membentangkan hasil kajiannya.

Hadir sama pada majlis syarahan umum adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti dan pengawai-pegawai utama universiti serta tetamu kenamaan jemputan kedua-dua Profesor berkenaan.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 301

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024