NAIB CANSELOR MELAWAT USM-KLE BERSAMA PIHAK MARA
BELGAUM, KARNATAKA, INDIA, 19 Januari 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengetuai lawatan kerja bersama pegawai-pegawai kanan MARA ke USM-KLE India pada 15 Januari 2023 hingga 21 Januari 2023.
Lawatan ini bertujuan melihat kemudahan yang disediakan kepada pelajar baharu tajaan MARA bagi kemasukan Sidang Akademik 2022/2023.
Antara agenda lawatan kerja ini adalah memperbaharui perjanjian ‘Memorandum of Agreement (MoA)’ di antara USM dan KLE.
Naib Canselor dan rombongan dibawa melawat kemudahan-kemudahan yang ada termasuk melawat Hospital Ayuverda di Belgaum.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan 237 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di sini.
Abdul Rahman dan delegasi turut menemui Pengerusi KLE Society, Dr. Prabhakar Kore.
Yang turut serta dalam lawatan ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan), Dato’ Zulfikri bin Osman; Pegawai Sektor Pendidikan MARA, Dr. Zulkifli bin Hussain @ Mat Hassan; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik USM, Hj. Ramli bin Osman; dan Timbalan Dekan USM-KLE Profesor Dr. Kamarudin Jaalam serta beberapa orang pegawai MARA dan USM.
Program pesisir USM dengan Karnataka Lingayat Education (KLE) University di Belgaum, Bangalore, India bermula dengan kemasukan pertama pada Sidang Akademik 2010/2011 seramai 48 orang pelajar yang mengikuti program Doktor Perubatan sepenuh masa selama 5 tahun.
Sehingga kini program ini telah mengeluarkan lebih 700 siswazah Doktor Perubatan yang sebahagian besarnya ditaja oleh MARA.
KLE yang terletak di Belgaum, Karnataka, India ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan pada tahun 1916 oleh ahli-ahli akademik India yang kini berkembang dalam menyediakan pengajian bertaraf dunia sebagai sebuah konsortium yang memiliki University of KLE dan Jawaharlal Nehru Medical College (JNMC) yang diiktiraf oleh kerajaan India.
Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE atau International Medical Program ini menyediakan segala kemudahan bilik kuliah, makmal, bilik-bilik tutorial dan perpustakaan moden. Kompleks ini turut menyediakan hospital latihan yang mempunyai 500 katil.
Semua pelajar tinggal di dalam kampus yang lengkap dengan asrama dan segala kemudahan stadium rekreasi, kemudahan IT, bank dan kafetaria.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 548