USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DOKTOR PERUBATAN OBESITI USM TERIMA ANUGERAH ANTARABANGSA IKTIRAF SUMBANGAN

IPPT BERTAM, PULAU PINANG, 19 Januari 2023 – Pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Teoh Soo Huat, 39 tahun, mendapat anugerah Dr. Peter G. Lindner Award dari Persatuan Perubatan Obesiti Amerika Syarikat - Obesity Medicine Association (OMA).

AFFF6F10 EA14 4BF7 BEE8 DEAF8AB151A8

OMA adalah persatuan doktor perubatan terbesar yang dianggotai oleh mereka yang terlibat dalam bidang perubatan obesiti termasuk jururawat dan pembantu perubatan dalam meningkatkan kualiti kesihatan awam yang terkesan dengan obesiti.

Menurut Teoh, beliau adalah satu-satunya penerima luar dari Amerika Syarikat yang mengiktiraf sumbangan pakar perubatan dalam bidang obesiti.

"Anugerah ini menjadi motivasi untuk saya terus memainkan peranan dalam bidang ini di Malaysia. Saya berharap dapat membangunkan bidang ini melalui khidmat klinikal yang berkualiti dan melatih doktor-doktor yang berminat. Ini adalah penghargaan saya kepada negara dan USM atas sokongan yang diberikan untuk saya ceburi bidang ini," kata beliau.

Doktor Perubatan Obesiti dan Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Klinikal IPPT itu berhasrat membantu masyarakat Malaysia dalam menghadapi penyakit obesiti yang sangat serius di Malaysia melalui rawatan berdasarkan bukti (evidence-based treatments).

"Kami menawarkan perkhidmatan rawatan kepada pesakit-pesakit obesiti seperti panduan gaya hidup sihat, nasihat perubahan tingkah laku, ubatan anti-obesiti dan perbincangan pembedahan bariatrik.

“Data pesakit-pesakit yang diperoleh juga dapat merangsang kerja-kerja penyelidikan untuk penambahbaikan rawatan-rawatan dan taraf perkhidmatan dalam bidang ini seiring dengan fungsi universiti sebagai menara ilmu," tambah Teoh.

BBD62B15 0183 40E9 9298 7C74E727D60D

Teoh anak kelahiran Jelutong, Pulau Pinang telah hampir 12 tahun terlibat dalam bidang perubatan obesiti yang mana 7 tahun bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum berkhidmat di USM.

Di bawah tajaan USM dan Kementerian Pengajian Tinggi, Teoh telah menjalani latihan subkepakaran perubatan obesiti di Ottawa, Kanada pada tahun 2022. Beliau juga dapat pengiktirafan sebagai felo kebangsaan Pertubuhan Obesiti Sedunia (World Obesity Federation) pada tahun 2020.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 478

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024