PENGUASAAN TEKNOLOGI DAN PEMBINAAN JIWA PERLU SEIMBANG - PRO-CANSELOR
USM PULAU PINANG, 13 Disember 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa melihat keharmonian integrasi sains dan sastera sebagai kekuatannya, iaitu kehebatan penguasaan teknologi dan ilmu sainsnya, dengan pembinaan jiwa manusia dan kemanusiaannya.
Semuanya berkait rapat dan harus diadun bersama-sama untuk memastikan USM menghasilkan graduan yang mampu berfikiran secara kritikal dan kreatif untuk mencari penyelesaian bagi masalah dari segi “Hi-Tech”nya dengan pembangunan jiwa dari segi “Hi-Touch”nya secara seiring, sejalan dan seimbang.
Berucap pada Sidang Kesebelas Upacara Konvokesyen ke-60, Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan berkata, dalam menghadapi apa jua cabaran yang ada, seluruh warga USM tidak boleh lupa kepada asas dan fundamental penubuhan USM, yang berinspirasikan sistem pusat pengajian yang berbeza dengan universiti lain, serta menekankan kepada pengajian antara disiplin sebagai teras memperkayakan ilmu pengetahuan para pelajarnya.
“Semua ini dilakukan berteraskan nilai-nilai murni seperti moral, etika, integriti dan profesionalisme dalam setiap diri pelajarnya supaya dapat dijadikan pegangan hidup dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.
“Selain pembangunan ilmu dalam STEM – Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang sering diperkatakan, kita juga perlu mengambil kira pendidikan STEAM dengan ‘A’ yang mewakili komponen yang dianggap bukan bidang Sains, iaitu ‘Arts’.
“Sebagai contoh, dengan adanya STEAM, kita boleh melahirkan bakal saintis atau jurutera yang boleh mengintegrasikan seni dan keindahan serta budaya dalam sesuatu produk yang dihasilkan, yang mana STEAM lebih menekankan kreativiti dalam menyelesaikan masalah dan adalah lebih menyeluruh untuk prospek kerjaya pada masa hadapan,” kata Zulkefli.
Tambah beliau lagi, perkara seperti inilah yang akan menjadikan USM sebagai sebuah universiti yang dirujuk, dihormati dan relevan kerana graduannya yang berilmiah, berakal budi, berbudi pekerti dan berbudi bahasa.
“Kita harus bertekad untuk membangunkan keunikan dengan jenama kita tersendiri iaitu USM, yang hasilnya dapat dilihat dari segi perwatakan atau karakter para graduan semua, yang berfikiran global tanpa melupakan pembangunan rohani dan jiwa yang sejahtera.
“Integrasi sains dan sastera menjadikan graduan Universiti APEX unik dan dalam kelasnya tersendiri, dan membolehkan graduan dalam bidang sains dan sastera menghadapi kehidupan holistik dan seimbang antara akhlak dan ilmunya,” menurutnya.
Zulkefli sebelum itu menyampaikan ijazah kepada 613 graduan Sarjana Muda dalam bidang Pendidikan, Sains dengan Pendidikan, Sastera dengan Pendidikan, Seni Halus, Seni Muzik dan Sastera (Bahasa Inggeris untuk Profesional) yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di Kampus Induk USM.
Keseluruhan alumni yang dihasilkan oleh USM kini ialah hampir 200,000 orang.
Text: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 580