USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA PASANGAN KEMBAR SEIRAS TERUJA GENGGAM IJAZAH BERSAMA

 K4A4185 1

USM PULAU PINANG, 12 Disember 2022 – Sidang Kesepuluh Upacara Konvokesyen ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah meraikan tiga pasangan kembar seiras, iaitu Dhifa Marzuki dan Dhika Marzuki (24), Nuranis Qhaleeda Ahmad Pesal dan Nuranis Qhaleezah Ahmad Pesal (23) serta Kalaaivahnny Jegathesan dan Kalaaiveyhny Jegathesan (23).

Pasangan kembar Dhika dan Dhifa berasal dari Kajang, Selangor dan masing-masing merupakan anak kelima dan keenam daripada enam beradik ini berkongsi bahawa mereka mempunyai minat, hobi dan citarasa yang sama, baik dari segi warna, makanan dan fesyen.

Mereka berdua adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bangunan, Perumahan dan Perancangan (PBP) dan tidak pernah berenggang sejak tadika. Dari zaman sekolah sehingga ke peringkat universiti, mereka berdua sentiasa melakukan aktiviti bersama, termasuk memilih fesyen yang sama apabila menghadiri kuliah.

“Kami berdua kini bekerja di syarikat keluarga di Cyberjaya dan merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi di masa hadapan,” kata Dhika.

 K4A4227 1

Sementara itu, Nuranis Qhaleeda dan adik kembarnya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata, mereka tidak bersependapat dari segi warna, fesyen dan cara pembelajaran, akan tetapi mereka mempunyai perancangan yang sama iaitu untuk bekerja di syarikat Ernst and Young, sebuah firma perakaunan global.

“Rakan sekelas kami kerap tersilap antara saya dan kakak dan bezanya antara kami adalah, kakak memiliki lesung pipit,” kata Qhaleezah.

Dalam pada itu, satu lagi pasangan kembar yang berasal dari Ipoh, Perak, J. Kalaaivahny dan J. Kalaaiveyhny, 23, turut berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

 K4A4206 1

Kata Kalaaivahny, dia dan adiknya Kalaaivehny mempunyai cita-cita yang sama iaitu menceburi profesion perakaunan, dan mereka mempunyai perancangan untuk menyambung pelajaran mereka ke tahap ‘professional paper’ dan tidak mempunyai perancangan untuk bekerja di tempat yang sama seperti pasangan kembar yang lain.

Seramai 738 graduan menerima ijazah masing-masing pada Sidang Kesepuluh yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 7,320 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing dalam sidang pertama hingga kedua belas yang berlangsung dari 3 hingga 14 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM di sini.

Text: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 387

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024