USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWAZAH USM DISERU UNTUK MENJADI CONTOH TELADAN, PERTAHANKAN INTEGRITI DAN KREDIBILITI

USME5444

USM PULAU PINANG, 7 Disember 2022 – Para graduan perlu menjadi contoh teladan dengan sentiasa mempertahankan integriti dan kredibiliti dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Demikian seru Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan, yang turut berkata, sebagai seorang yang berilmu, integriti adalah penting untuk dijadikan landasan dan budaya hidup yang sejahtera demi membawa kemakmuran kepada masyarakat.

Kata beliau lagi, “Biarpun di mana anda bekerja, tidak kira sama ada agensi kerajaan, sektor swasta mahupun menjalankan perniagaan sendiri, graduan Universiti Sains Malaysia (USM) boleh menyumbang ilmu dan kepakaran masing-masing dalam bidang yang berkaitan dengan profesion masing-masing, agar sumbangan itu dapat memberi impak kepada komuniti demi kebaikan dan kesejahteraan hidup.”

Beliau mengakui kewujudan agenda HEBAT di USM telah memainkan peranan yang besar dalam membentuk graduan yang cemerlang.

“Universiti ini telah melahirkan graduan yang mempunyai bakat ‘Holistic’, ‘Entrepreneurial’, ‘Balanced’, ‘Articulate’ dan ‘Thinking’, yang mana pastinya mereka ini dapat membantu membangunkan negara menerusi ilmu yang diperolehi.

“Agenda ini turut membantu USM mencapai kebolehpasaran graduan (graduate employability) yang tinggi, iaitu sebanyak 90.6% berdasarkan statistik 2021,” kata Jegathesan.

“Sebagai contoh, apabila saudara saudari terlibat dengan sektor korporat, industri dan keusahawanan, akan ada ruang membentuk jaringan baharu dan membuka peluang kepada anak-anak muda yang ingin menceburi dunia perniagaan,” kata beliau.

Jelas Jegathesan lagi, dalam bidang penyelidikan, para siswazah boleh mewujudkan rangkaian jalinan kerjasama dan perkongsian pintar antara universiti atau bersama pihak industri tempatan dan luar negara.

“Bantulah alumni yang lebih muda kelak untuk mengakses peluang ke arah membangunkan kerjaya dan profesionalisme mereka. Misalnya, bagi siswazah dalam bidang perubatan dan pergigian termasuk graduan USM-KLE International Medical Programme di Belgaum India, jadilah seorang doktor yang bersikap profesional, merawat pesakit dengan penuh keikhlasan dan setulus hati, janganlah semata-mata mengejar kekayaan duniawi,” jelasnya.

Beliau sebelum itu menyampaikan ijazah kepada 565 graduan Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam, Analitik Perniagaan, Pengurusan serta Doktor Perubatan dan Pergigian (termasuk 130 graduan USM-KLE International Medical Programme di Belgaum India) di Sidang Kelima Upacara Konvokesyen ke-60 USM, yang berlangsung pada 7 Disember 2022 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di sini.

USM kini telah menghasilkan hampir 200,000 orang alumni yang bekerja dan berkhidmat di serata dunia.

Text: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 331

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024