TRADISI CONVEX USM DITERUSKAN SETELAH DUA TAHUN DITUNDA AKIBAT COVID-19
USM PULAU PINANG, 6 Disember 2022 – Bersempena dengan Upacara Konvokesyen Ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) di bawah pengelolaan Sekretariat Ekspo Konvokesyen telah menganjurkan Expo Konvokesyen (ConvEx) USM bermula 3 Disember 2022.
ConvEx merupakan sebuah medan untuk melatih mahasiswa untuk membangunkan bakat kepimpinan melalui perancangan rapi untuk menjalankan pelbagai aktiviti dalam mempelawa pengusaha gerai, penjanaan dan pengurusan kewangan sehinggalah kepada keusahawanan sosial disusuli dengan pengukuhan agenda HEBAT iaitu ‘Holistic’, ‘Entrepreneurial’, ‘Balanced’, ‘Articulate’ dan ‘Thinking’.
Bertemakan ‘The Legacy Persists’, program ini dihidupkan kembali setelah dua tahun tidak dijalankan akibat pandemik COVID-19 dan tradisi dan legasi ini diteruskan pada tahun ini, yang mana ConvEx dianjurkan untuk memberikan peluang kepada pelajar dan masyarakat luar untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan membuka gerai-gerai jualan barangan dan perkhidmatan.
Antara gerai yang beroperasi di tapak ConvEx kali ini termasuk gerai makanan dan minuman, gerai pakaian, gerai cenderahati, gerai menjual bunga-bungaan dan sebagainya, diselangi juga beberapa ‘booth’ pameran yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar USM.
Menurut Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dalam ucapan perasmiannya, beliau amat berbangga dengan apa yang dicapai melalui pelaksanaan ConvEx iaitu dari segi pemerkasaan pelajar atau ‘student empowerment’ yang meletakkan pelajar sebagai nadi utama penggerak dan pelaksanaan gerak kerja ConvEx.
“Berpegang teguh pada moto ‘Kami Memimpin’ atau ‘We Lead’, USM sering dikatakan sebagai ‘the University of Many Firsts’, iaitu universiti yang sentiasa #syukurselalu dan melakukan inovasi serta cara kerja #USMstyle, yang mana ‘organisational culture’ inilah yang sentiasa dilihat sebagai inovasi hebat oleh masyarakat di luar sana mengenai USM,” kata Zulkefli ketika berucap di majlis perasmian ConvEx yang berlangsung pada 3 Disember 2022 di tapak ConvEx di sini.
Tambah Zulkefli lagi, kebijaksanaan sekretariat dalam pelaksanaan Ekspo Konvokesyen ini dilihat meliputi segala aspek yang membabitkan kebolehpasaran graduan kelak dan kemampuan graduan untuk menghadapi cabaran Industri 4.0.
Sementara itu, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, melihat ConvEx sebagai sebuah program yang berprestij dan mampu melahirkan pelajar-pelajar yang berdaya saing dalam pelbagai aspek, yang mana elemen HEBAT diterapkan dengan sistem gerak kerja ConvEx yang dapat melatih para pelajar dalam sistem pentadbiran dan bisnes yang profesional.
“Saya percaya setiap pelajar yang mengambil peluang ini berhasrat untuk menjadi siswa siswi yang kompeten apabila memasuki alam pekerjaan dan saya melihat ConvEx sebagai satu platform yang akan menjadikan para pelajar yang terlibat sebagai graduan yang holistik dan dipandang tinggi,” kata Narimah.
Turut diselitkan pada majlis yang sama adalah upacara meraikan Pemenang Pingat Emas Utama bagi Konvokesyen 2022, iaitu Farah Zahidah Abd Halim yang merupakan pemenang Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (Anugerah bagi pemimpin pelajar cemerlang).
Farah dalam ucapannya berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa akan mendapat peluang untuk naik ke atas pentas graduasi dan seterusnya mendapat anugerah yang hebat ini, apatah lagi melihat kembali kepada penerima-penerima pingat terdahulu, yang mana terdiri daripada individu-individu luar biasa seperti Saudara Syahdad yang dikagumi sejak di tahun pertama di USM, dan Saudara Na Yong Sik yang merupakan Pemenang Pingat Emas Canselor pada Upacara Konvokesyen ke-59, yang merupakan mentornya sepanjang tempoh pengajiannya di USM.
“Sepanjang berada di USM, saya dapat memaksimakan masa saya sebagai mahasiswa dengan menjadi ahli MPP selama 3 tahun, yang mana saya sentiasa meminati aktiviti kepimpinan dan perkongsian ilmu.
“Pada tahun akhir saya, saya telah dilantik menjadi Yang Dipertua MPP USM bagi Kampus Kejuruteraan, yang juga mencipta momen tersendiri sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut di Kampus Kejuruteraan,” kata Farah, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Kepujian).
Tambahnya lagi, “Empat tahun di universiti ini sebenarnya satu masa yang sangat singkat. Pesanan saya kepada semua mahasiswa agar ‘menghormati’ proses, dan percaya pada diri sendiri.”
“Kita semua adalah pemimpin, dengan cara kepimpinan tersendiri. Kita hanya perlu ‘menerokai’ dan ‘memahami’ kaedah manakah yang terbaik, dan saya juga mendoakan yang terbaik untuk semua dalam apa jua yang dilakukan, dan percayalah, kita semua adalah pelajar HEBAT dengan cara kita tersendiri,” ujarnya.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak, Tengku Harith Aziz; Pengarah Ekspo Konvokesyen 2022, Gosvindraj Munusamy dan pegawai-pegawai utama universiti serta ahli-ahli jawatankuasa sekretariat ConvEx.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 545