IBU BAPA PENDORONG SEMANGAT NASRI TERUS KEKALKAN KECEMERLANGAN
USM Pulau Pinang, 4 Januari 2023 – Meminati sungai dan saliran serta ingin mencari penyelesaian terhadap banjir merupakan salah satu sebab utama Muhammad Nasri Nasehir Khan, 23, untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam di Universiti Sains Malaysia (USM).
“USM memang pilihan pertama saya untuk menyambung pengajian kerana sejak kecil lagi sudah bercita-cita untuk menjadi pelajar di sini,” kata anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini.
Nasri merupakan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja Kategori Bumiputera oleh Majlis Raja-Raja Malaysia bagi pelajar terbaik dalam segala lapangan di Upacara Konvokesyen Ke-60 USM yang telah diadakan pada Disember yang lalu atas kejayaannya mengekalkan PNGK 4.00 sepanjang tempoh 8 semester pengajian di USM.
Ketika ditanya, rahsia kejayaan cemerlangnya pada setiap semester adalah sentiasa mengingati pesan ibu bapa supaya sentiasa menjaga hubungan dengan ALLAH SWT dan solat di awal waktu.
“Saya juga amat menjaga hubungan dengan kedua ibu bapa, keluarga, rakan-rakan, pensyarah serta persekitaran,” ujarnya.
Tambahnya yang merupakan pelajar cemerlang SPM dengan mendapat keputusan 10A, Sebagai pelajar, kita perlu rajin bertanya sekiranya tidak memahami satu-satu perkara. Biasanya pelajar takut untuk bertanya kerana bimbang dimarahi dan juga atas faktor perbezaan bahasa, tetapi pensyarah lebih suka pelajar untuk terus bertanya agar setiap isu itu dapat diselesaikan segera.
Ketika ditanya lagi mengenai kesukarannya sepanjang tempoh pengajian, Nasri mengakui bukan mudah untuk beliau mengekalkan prestasi cemerlangnya.
“Ada beberapa subjek yang sukar difahami tapi saya sentiasa bertenang terlebih dahulu sebelum cuba memahami semula subjek tersebut. Selain itu, timbul juga isu plagiarism dalam tugasan berkumpulan yang dijalankan dan kami perlu mencari penyelesaian untuk masalah ini,” jelas lanjut anak muda Bukit Mertajam ini.
Di akhir katanya, Nasri turut berkongsi nasihat berguna iaitu jangan membandingkan hidup kita dengan orang lain kerana kita tidak mengetahui kesukaran yang telah dilalui oleh orang lain.
Teks: Nurhidayah Shahbudin
- Created on .
- Hits: 709