USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENGORAK LANGKAH AWAL MELALUI USAHA PENERAPAN KONSEP PEMBANGUNAN LESTARI

USM PULAU PINANG, 11 Januari 2023 – Pertambahan penduduk disertai dengan proses pertambahan pelbagai aktiviti dilihat memberi tekanan kepada ekonomi, sosial & alam sekitar.

Demikian ujar Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Prof Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim yang menegaskan kehidupan masyarakat kini bukan lagi tertakluk kepada keperluan kebendaan tetapi lebih kepada memenuhi kehendak yang tiada tujuan.

“Lantaran daripada itu, masyarakat dilihat kian berubah dan ini memerlukan suatu penelitian mengapa fenomena ini terus berlaku dan aktiviti begini dilihat sebagai satu cabaran dalam membentuk komuniti lestari dalam sesebuah organisasi.

Tambahnya, kurangnya didikan pengetahuan tentang pembangunan lestari serta masalah pentadbiran merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dalam membentuk komuniti yang lestari.

“Pembinaan keupayaan komuniti adalah antara strategi yang perlu giat dijalankan sebagai usaha untuk membentuk komuniti lestari. Tanggungjawab untuk membentuk komuniti lestari ini tidak hanya digalas oleh pihak kerajaan semata-mata tetapi memerlukan usaha dan kerjasama pelbagai pihak,” jelasnya.

Jelasnya lagi, masyarakat harus sedar bahawa “Konsep Pembangunan Lestari” ini merupakan satu usaha untuk menjaga kesejahteraan persekitaran fizikal yang mana persekitaran fizikal ini dihuni oleh sekumpulan manusia yang akan berusaha untuk memastikan persekitaran fizikal tersebut berada dalam keadaan yang baik serta mampu memenuhi keperluan untuk hidup.

“Usaha ke arah pencapaian kualiti hidup yang baik bukan sahaja dilihat daripada segi persekitaraan binaan yang memberi keselesaan kepada penduduk malah keupayaan persekitaran tersebut menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk. Seiring dengan konsep pembangunan lestari, kehidupan yang berkualiti juga menuntut kepada keseimbangan ekonomi dan juga penjagaan alam sekitar,” katanya lagi.

202245E7 B6F7 4B9D A929 F2D47E977615

Atas kesedaran ini, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) telah mengambil langkah dengan mengadakan lawatan dan perbincangan bersama Pusat Rancangan Kokurikulum berkaitan dengan “Konsep Pembangunan Lestari” pada tanggal 4hb Januari 2023 yang turut disertai oleh Dr. Radieah Mohd Nor daripada CGSS selaku Ketua Penyelarasan THE-Impact Ranking USM.

Pihak IKMa berhasrat untuk memahami pendekatan yang diguna pakai oleh USM sehingga berjaya menduduki Ranking ke-empat Dunia dalam THE-Impact Rankings.

IKMa juga berhasrat untuk menerapkan Konsep Pembangunan Lestari dapat dipraktikkan di Universiti Keusahawanan di bawah seliaan IKMa yang akan memulakan pengambilan pelajar pada tahun 2023.

Di dalam perbincangan tersebut IKMa juga bersetuju untuk meminta Pusat Rancangan Kokurikulum dengan kerjasama daripada CGSS untuk menyelaras latihan “Konsep Pembangunan Lestari” dalam kalangan kakitangannya yang berjumlah hampir 300 orang.

Pada masa yang sama satu MoU akan dibuat dalam usaha untuk mengadakan kerjasama dalam pelbagai aktiviti terutamanya yang melibatkan pelajar-pelajar USM dan pelajar-pelajar Universiti Keusahawanan pada masa akan datang.

Kedua-dua pihak amat bersetuju bahawa Negara perlu mengiktiraf pembangunan lestari demi menyediakan perkhidmatan ekologi, memulihara warisan dan penggunaan sumber asli.

Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan kita masih berfikiran tamak dan hanya mengaut kekayaan, alam sekitar bakal menjadi mangsa utama kerakusan.

Yang jadi mangsa, generasi masa hadapan apabila tidak dapat menikmati pembangunan negara yang diselimuti kehijauan alam semula jadi dan hidup dalam pencemaran yang memburukkan serta berbahaya.

Turut hadir sama ialah Dr. Zurita Mohd Saleh (Pengarah, Pusat Antarabangsa dan Kolaborasi); Sharina Abdullah (Pengarah Kanan, Dasar dan Strategi); Mohd Zaib Mat Yunus (Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Modal Insan); dan Profesor Madya Dr. Mohd Sayuti Hassan (Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum USM).

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 490

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024