USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI PERKASAKAN KOMUNITI

En Hazim

USM PULAU PINANG, 10 Januari 2023 – Universiti terus memperkasa komuniti dalam merealisasikan agenda APEX (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan) yang berteraskan usaha untuk menjadi sebuah universiti perintis, intensif penyelidikan merentas bidang, memperkasa bakat masa hadapan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosio-ekonomi mereka.

Ini bermakna universiti memanfaatkan kepakaran yang ada dengan menggabung pelbagai disiplin ilmu untuk membantu golongan terkebawah atau B40 untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

Menurut Penyelaras Jaringan Komuniti USM, Muhamad Nur Hazim Mazlan, "Dengan kerjasama dana dari pelbagai institusi dan agensi yang diamanahkan untuk membantu komuniti, universiti bergabung tenaga dan kepakaran untuk melakukan aktiviti pemindahan ilmu yang mampu mengubah status ekonomi mereka.”

“Antaranya ialah membantu masyarakat di Tenom Sabah menghasilkan kelarai yang lebih berkualiti dengan mewujudkan pusat komuniti yang dilengkapi dengan mesin rekaan kepakaran dalam bidang kejuruteraan untuk meningkatkan kecekapan, dan produktiviti penghasilan produk yang lebih cepat dan berkualiti untuk pasaran yang luas,” katanya.

Jelasnya, beberapa projek sedia ada hasil penyelidikan termasuk penanaman padi dalam polibeg, penternakan udang karang, tiram dan rumpai laut, mengetin buah rambutan yang berlebihan dalam pasaran serta penghasilan Black Soldier Fly Larvae (BSFL) sebagai inovasi makanan haiwan masa hadapan di dalam komuniti, adalah antara usaha yang sedang dibangunkan.

"Kita juga diberi tanggungjawab untuk melatih lebih 400 orang usahawan di Kelantan melalui program khas yang sedang dilaksanakan oleh kepakaran universiti," katanya lagi.

Tambahnya, tumpuan diberi kepada memanfaatkan dana dari pelbagai agensi yang ada berasaskan permintaan dan nilai pasaran (demand- and value-driven) untuk merealisasikan usaha membangunkan komuniti terutamanya mereka dari kumpulan terkebawah.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 334

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024