USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GRADUAN AUTISME TERIMA ANUGERAH PINGAT EMAS USM

316054853 5788854697842182 605392051315813795 n

USM PULAU PINANG, 30 November 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menganugerahkan Anugerah Pingat Emas USM (anugerah bagi graduan cemerlang kelainan upaya) kepada seorang graduan autisme (hiperaktif), Ooi Ivan, 24, bersempena dengan Upacara Konvokesyen ke-60 USM.

Ivan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESOL) berkata, beliau amat bersyukur dapat menamatkan pengajiannya mengikut ‘timeline’ yang telah ditetapkan.

“Biarpun saya menghidap Gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD) dan saya berdepan dengan masalah sukar untuk menumpukan perhatian sewaktu di dalam kelas, saya berasa amat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada ibu bapa, pensyarah, rakan-rakan dan warga kampus yang lain.

“Universiti ini telah banyak membantu orang OKU iaitu dengan menyediakan persekitaran yang baik, tanpa bantuan mereka, saya tidak dapat sampai ke tahap ini,” kata Ivan.

Ivan yang baru selesai menjalani praktikal di sekolah lamanya iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Ling Butterworth berkata, beliau berharap untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik.

316811354 5788854611175524 3056781661015131037 n

Nasihat Ivan kepada golongan OKU yang lain adalah untuk tidak berasa malu jika perlu mengambil masa untuk menyempurnakan sesuatu tugasan atau perkara dalam situasi diri yang tidak mengizinkan kerana beliau sendiri juga pernah mengalami keresahan akibat emosi tidak stabil ketika menghadapi peperiksaan, dan bersyukur pihak universiti memberi kebenaran untuk mengasingkan diri dari penuntut lain.

Ivan ditemui ketika menghadiri sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen ke-60 USM yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di sini.

Abdul Rahman dalam sidang medianya memaklumkan bahawa Upacara Konvokesyen ke-60 akan diadakan bermula Sidang Pertama pada 3 Disember hingga Sidang ke-12 pada 14 Disember 2022.

Menurut beliau, USM akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada dua mantan akademia USM iaitu Dato’ Sri Dr. Daing Mohd Nasir Daing Ibrahim dan Profesor Dato’ Dr. Wan Mohamad Wan Bebakar.

317360601 5788854921175493 1218680371661166218 n

Sejumlah 7,282 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi (Doktor Falsafah dan Sarjana - 2,227), Ijazah Sarjana Muda (4,984) dan Diploma Kejururawatan (69).

Turut diraikan adalah penerima Hadiah Pingat Emas Canselor, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris untuk Profesional, Arief Ferdaus Azmi; penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-raja Malaysia (kategori Bumiputera), graduan Ijazah Sarjana Kejuruteraan, Muhammad Nasri Nasehir Khan dan kategori bukan Bumiputera, Ijazah Doktor Pergigian, Siek Jia Wen serta penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (anugerah bagi pemimpin pelajar cemerlang), graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia), Farah Zahidah Abd Halim.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 348

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024