CAKNA DAN PRIHATIN KESIHATAN MENTAL KE ARAH KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI
SANDAKAN, SABAH, 10 Januari 2023 - Kesihatan Mental merupakan keadaan seseorang yang "berfungsi pada tahap penyesuaian emosi dan tingkah laku yang memuaskan".
Demikian ujar Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Mohd Sayuti Hassan ketika Program KPT- Prihatin (KRIS) bersama komuniti Batu Sapi, Sandakan Sabah bulan lalu.
Menurutnya, dari perspektif psikologi positif atau holisme, kesihatan mental mungkin termasuk keupayaan setiap individu untuk berupaya menikmati kehidupan, dan juga mewujudkan satu ataupun sebuah bentuk keadaan yang penuh dengan keseimbangan dan juga kestabilan di antara aktiviti kehidupan dan usaha untuk mencapai daya tahan psikologi.
“Kesihatan mental dalam komuniti pada masa kini terutamanya golongan belia perlu diberikan perhatian kerana golongan ini sedang melalui fasa perkembangan daripada segi fizikal dan emosi.
“Sekiranya mereka gagal mengawal fasa perubahan diri yang mereka alami, mereka berkemungkinan menghadapi gangguan kesihatan mental dan akan memberi impak kepada kesejahteraan hidup mereka,” katanya.
Tambahnya, tahap kesihatan mental belia di Malaysia menunjukkan pola yang agak membimbangkan dengan keadaan kemurungan yang boleh membawa kepada gejala bunuh diri. Malangnya ramai yang mempunyai persepsi negatif terhadap penyakit mental dan masalah kesihatan berkaitan mental.
“Perbuatan melabelkan individu tersebut sebagai gila, tidak stabil, bahaya, ganas dan mengada-ngada boleh menyumbang kepada perkara yang lebih buruk,” jelasnya lagi.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan dan mengakibatkan seseorang itu mengalami penyakit mental, antaranya ialah Pengalaman hidup yang teruk; Penyakit perubatan kronik yang berterusan; Faktor biologi; Pengambilan alkohol; Kurang pendedahan atau interaksi sosial; Mempunyai perasaan kesepian atau pengasingan; dan akhir sekali ialah Sejarah keluarga yang kurang baik.
Beliau juga menegaskan bahawa atas rasa tanggungjawab dalam membendung permasalahan yang kian meruncing ini dan dalam usaha mengubah persepsi komuniti bagi memahami fakta yang betul berkenaan perkara ini, maka Pusat Rancangan Kokurikulum USM dibawah tajaan Program KPT Prihatin KRIS telah mengambil insiatif mengadakan Program Pertolongan Cemas dan Memahami Masalah Kesihatan Mental di Kampung Gelam-Kombo Bukit, Kampung Trong Liman, Kampung Api-Api & Pulau TrongLit, Desa Permai pada 11-18 Disember 2022 di Batu Sapi, Sandakan, Sabah yang lalu.
Senentara itu, Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Prof. Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim pula berkata, kursus ini bertujuan membina pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi membantu individu yang mempunyai masalah mental yang serius menggunakan program berorientasikan pemulihan, sokongan keluarga dan komuniti.
“Peserta didedahkan kepada paradigma berorientasikan pemulihan sebagai pendekatan umum praktis dan juga kaedah intervensi untuk pesakit mental yang serius. Peserta juga akan mempelajari pelbagai peringkat sokongan intervensi yang khusus dan prinsip-prinsip penting bagi menterjemahkan teori kepada praktis,” jelasnya.
Tambahnya, Program KPT- Prihatin ini merupakan satu inisiatif yang murni dalam meningkatkan kesedaran terhadap masalah kesihatan mental dalam komuniti. Ia juga merupakan satu pendekatan bagi meningkatkan permahaman yang lebih baik mengenai penyakit mental agar masyarakat lebih bersedia dalam berhadapan dengan situasi kehidupan yang tidak menentu.
“Seperti penyakit fizikal yang lain, kesedaran akan kepentingan kesihatan mental amatlah perlu dititikberatkan agar masyarakat dapat menjalani kehidupan seharian dalam suasana yang harmoni dan sejahtera,” ujarnya lagi.
Beliau juga berharap agar Program KPT- Prihatin (KRIS) ini dapat memberikan impak yang positif dalam kehidupan masyarakat, terutama dalam komuniti Batu Sapi, Sandakan Sabah.
Teks & Foto : Prof Madya Dr Mohd Sayuti Hassan
Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum
Suntingan : Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 823