USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MASS2021: TERUS MERAIH DAN MENGIKTIRAF PENCAPAIAN CEMERLANG WARGA USM

USM 6028

GEORGETOWN, 5 Disember 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (P&I) baru-baru ini (pada 2 Disember 2022) telah meneruskan tradisi dengan mengiktiraf pencapaian dan kejayaan cemerlang warga USM dalam pelbagai bidang di Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2021 (MASS2021) edisi ke-21 di Plenitude Grand Ballroom, Ascott Gurney Hotel di sini.

Berangkat memperkenan majlis yang gilang gemilang itu adalah Tuanku Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauzah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid.

MASS 2021 berkonsepkan pohon hayat yang melambangkan keseimbangan dalam budaya masyarakat Asia, khususnya di Malaysia, Indonesia, India dan Thailand, yang mana pohon ini adalah paparan jalinan ranting yang melambangkan pelbagai aspek dalam kehidupan, mencakupi tiga ruang penting iaitu mental, psikologi dan fizikal dan pada tahun ini, tema MASS ialah ‘USM Unggul Melangkaui Era’.

Seramai 188 pemenang anugerah telah diraikan pada malam tersebut dan tradisi ini diteruskan dengan mengiktiraf kecemerlangan Anugerah Sanggar Sanjung peringkat kebangsaan dan antarabangsa, meliputi kategori Pengkomersilan Produk Penyelidikan, Penerbitan Jurnal, Paten, Ketokohan, Geran Penyelidikan Industri dan Antarabangsa serta Anugerah Penyelidik Harapan.

Selain itu, pihak universiti turut menyampaikan beberapa anugerah lain selain Anugerah Sanggar Sanjung iaitu Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Pentadbir Sanjungan, Anugerah Sanjungan Industri, Anugerah Kualiti dan Anugerah Kepimpinan Masyarakat.

USM 5710

Pada majlis tersebut, DYMM Raja Perlis menyampaikan Anugerah Sanggar Sanjung Kategori Ketokohan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Titah Tuanku, USM perlu terus memimpin dalam usaha ini dan mencari ikhtiar yang sebaik mungin membantu masyarakat, negara dan dunia menghadapi pelbagai cabaran yang ada, dan ahli-ahli akademik perlu terus menggunakan kepakaran yang ada untuk menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai agensi, industri dan pertubuhan di dalam dan luar negara.

“Ahli-ahli akademik kita perlu mencari peluang baharu dan berani menghadapi pasaran baharu dengan lebih kreatif dan inovatif, yang mana saya percaya kita mampu melakukannya selagi dapat mengekal dan meningkatkan minat dan passion yang ada, berani, berfikiran terbuka dan bekerja sebagai satu pasukan,” titah Tuanku.

USM 5529

Sementara itu, menurut Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, beliau percaya USM akan berupaya mengharungi segala cabaran baharu dan semasa yang ada untuk teruskan kecemerlangan ini.

“Kita bukan sahaja perlu kekal relevan, kelihatan relevan malah perlu bersikap realistik dalam segala tindakan yang dilakukan; kita jangan hanya mempunyai idealisme sebagai ahli akademik tetapi juga memahami keperluan pelbagai golongan masyarakat serta industri dan negara dengan nilai-nilai dunia dalam semua yang kita lakukan,” kata Narimah.

Hadir sama ke majlis adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Dato’ Haji Hamdan Bahari dan isteri Datin Hajah Hasmah Mustafa; tiga Pro-Canselor USM - Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan bersama isteri, Puan Sri Tan Lee Hong; Tan Sri Datuk Mustafa Mansur bersama isteri, Puan Sri Khuzaimah Abdul Mookmin; Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan bersama isteri Puan Sri Datin Noridah Nachara Hamat; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk MASS2021, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman; serta delegasi USM dan kerajaan negeri Perlis.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 393

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024