MISI SUKARELAWAN PASCA BANJIR USM FOKUS PEMBERSIHAN SEKOLAH
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Disember 2022 – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Menyedari keperitan yang dialami mangsa-mangsa banjir yang melanda sekitar Kelantan beberapa hari lalu, warga Universiti Sains Malaysia (USM) turun ke lokasi terkesan di Pasir Mas dan Wakaf Bharu, hari ini dan semalam.
Kumpulan sukarelawan seramai 80 orang pelajar dari Kampus Kesihatan, Kubang Kerian serta Kampus Induk, Pulau Pinang melaksanakan Misi Sukarelawan Pasca Banjir Pantai Timur Fasa 1 dengan melakukan operasi pembersihan dua (2) buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Pasir Mas dan Sekolah Kebangsaan Kampung Delima, Wakaf Bharu yang menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain turut terjejas akibat bencana banjir yang melanda tempoh hari.
Umum mengetahui bahawa sekolah akan dibuka pada awal Januari 2023 nanti. Justeru, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kesihatan dengan kerjasama BHEPA, Kampus Induk serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil langkah proaktif dalam membantu pihak sekolah membuat persediaan menyambut kedatangan pelajar dengan membersih dan mencuci bilik darjah, surau, kantin, dewan, makmal komputer dan kawasan sekitar sekolah yang terjejas.
Semangat serta dedikasi sukarelawan USM untuk membantu amat terserlah dan ianya bertepatan dengan hasrat USM untuk melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mantap sahsiah serta empatinya.
Turut turun ke lokasi menyertai misi ini bersama para sukarelawan ialah Timbalan Pendaftar BHEPA Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria; Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, BHEPA Kampus Induk, Zulkifli Che Hussin; selain pegawai-pegawai dan staf BHEPA serta pasukan Pusat Pengurusan Bencana USM.
- Created on .
- Hits: 485