ORANG RAMAI DISERU SUMBANG BAHAN PUSAT SUMBER SEKOLAH DAN PERPUSTAKAAN KOMUNITI
USM PULAU PINANG, 3 Januari 2023 – Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited memainkan peranan untuk memperkasakan kesejahteraan sosial masyarakat terutamanya dalam kalangan ‘bottom billions’ melalui sumbangan kepakaran menambah baik pusat sumber sekolah dan perpustakaan komuniti.
Program tersebut merupakan program khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu yang direkayasa sejak tahun 2010 bertujuan untuk membantu menambah baik pusat sumber atau perpustakaan komuniti sama ada dari segi fizikal, pengurusan koleksi serta pembangunan sistem.
Menurut Pemangku Ketua Pustakawan, Mohd Nasir Md Rashid, sejak usaha ini dilancarkan, Perpustakaan USM telah membantu lebih daripada 10 pusat sumber sekolah dan 2 perpustakaan komuniti.
“Antara aktiviti yang telah dibuat termasuk transformasi ruang dalaman dan luaran, pengkatalogan, pengkelasan dan penyusunan semula bahan bacaan, pembangunan dan pemasangan sistem yang diubahsuai mengikut keperluan, serta latihan berkaitan amalan terbaik pengurusan pusat sumber atau perpustakaan kepada guru dan pengawas pusat sumber.
"Kita berharap inisiatif berterusan ini akan memberikan impak positif kepada pelajar atau komuniti terkebawah dengan membolehkan mereka menikmati pusat sumber atau perpustakaan komuniti yang kondusif dan selesa," kata Mohd Nasir.
Tambahnya, kemudahan pusat sumber dan perpustakaan yang baik akan meningkatkan penggunaannya serta membantu memupuk amalan dan minat membaca yang sejati dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, Perpustakaan USM turut menyumbangkan bahan bacaan bagi membantu memperkayakan koleksi pusat sumber atau perpustakaan komuniti terbabit.
“Kita juga mengalu-alukan sumbangan bahan bacaan daripada orang ramai terutamanya yang bersesuaian bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dalam pelbagai genre.
"Bahan bacaan yang terkumpul ini akan diserahkan kepada sekolah atau perpustakaan komuniti yang memerlukan dari semasa ke semasa," tambahnya lagi.
Terbaru, Disember lalu, Perpustakaan USM telah menganjurkan program khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu bagi pelajar orang asli di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.
Program yang dijalankan selama 3 hari 2 malam itu disertai oleh 18 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Perpustakaan USM Kampus Induk dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang julung kali diadakan selepas negara menghadapi pandemik COVID-19.
Maklumat lanjut berkenaan sumbangan bahan bacaan dan program khidmat masyarakat serta pemindahan ilmu, sila WhatsApp: 011-5862 1210 atau E-mel:
Teks: Asma Wati Ibrahim/Foto: Pasukan Produksi Perpustakaan USM
- Created on .
- Hits: 702