KESAN JATUH LEBIH BURUK JIKA INDIVIDU ALAMI OSTEOPOROSIS
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Disember 2022 – Jatuh merupakan salah satu sindrom geriatrik ataupun perkara yang sering berlaku dalam kalangan warga emas malah ia boleh berlaku ketika berada di lantai atau berada di tingkat yang lebih rendah tanpa dirancang.
Di Malaysia, dianggarkan terdapat 8.5 kes jatuh bagi setiap 100 individu setahun. Sering jatuh juga boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada seseorang individu.
Pakar Perubatan Geriatrik dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Nurbaya Mohd Nawi berkata, kerapuhan tulang atau osteoporosis merupakan masalah yang kerap berlaku dalam kalangan warga emas.
"Dalam osteoporosis, kepadatan tulang menjadi semakin berkurang dan menyebabkan ia mudah patah.
"Kerapuhan tulang berkait rapat dengan masalah jatuh kerana seseorang mengalami kepatahan tulang apabila jatuh serta mengakibatkan ketidakupayaan untuk bergerak.
"Tulang yang sering patah adalah seperti tulang belakang, tulang pinggul dan tulang lengan," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM, di sini.
Tambah Siti Nurbaya, terdapat beberapa faktor risiko jatuh dalam kalangan warga emas antaranya 'Intrinsik' (Dalaman) dan 'Ekstrinsik' (Luaran).
"Faktor intrinsik antaranya ialah umur yang meningkat, penyakit kronik termasuk ‘Arthritis’, penglihatan kurang baik, masalah kognitif, kelemahan otot, faktor psikologi, kemurungan, kurang zat dan nutrisi serta kurang aktiviti fizikal.
“Manakala faktor ekstrinsik pula ialah persekitaran, lantai yang tidak sesuai, persekitaran yang gelap, tangga dan bendul, selipar atau kasut yang tidak sesuai, tiada alat bantu atau bar pemegang, persekitaran baharu dan penggunaan cermin mata ‘Bifocals/Multifocals," ujarnya lagi.
Siti Nurbaya berkata, jatuh akan mengakibatkan kesan buruk kepada individu terbabit serta mengakibatkan kecederaan fizikal seperti patah tulang, pendarahan di dalam otak, kemerosotan pergerakan dan fungsi harian seseorang serta kesan terhadap psikologi seperti kebimbangan yang melampau (anxiety), kemurungan dan juga ketakutan untuk berjalan lagi.
“Bagi pesakit yang mempunyai penyakit osteoporosis, kesan akan menjadi lebih teruk sekiranya mereka jatuh.
"Osteoporosis berpunca daripada cara hidup individu yang tidak aktif, merokok, pengambilan alkohol, pengambilan ubat berunsur steroid untuk jangka masa panjang, kurang kalsium dan vitamin D, berat badan yang rendah, masalah penyerapan zat seperti ‘Celiac Disease’ dan ‘Menopause’ pada usia muda," jelasnya.
Menurut Siti Nurbaya, penyakit osteoporosis tidak menunjukkan simptom pada peringkat awal, namun terdapat individu yang mengalami sakit sendi atau tulang serta kepatahan tulang berimpak kecil.
"Di samping itu, golongan warga emas yang menghidap osteoporosis akan menjadi semakin membongkok akibat tulang belakang yang rapuh dan patah menyebabkan perubahan bentuk tulang belakang mereka.
"Osteoporosis kini boleh dirawat memandangkan banyak rawatan yang dapat dilakukan supaya tulang dapat menjadi lebih padat untuk mencegah daripada patah apabila seseorang itu jatuh," ujar beliau.
Siti Nurbaya turut menasihatkan masyarakat mengenal pasti risiko untuk jatuh atau sering jatuh serta mendapatkan pemeriksaan doktor supaya faktor-faktor risiko dapat dilihat.
"Masyarakat juga harus peka sekiranya seseorang individu atau warga emas itu jatuh, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera kerana risiko untuk patah tulang sangat tinggi dan perlu dirawat segera.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria/Reka Grafik: Mohamad Zaini Baharom
- Created on .
- Hits: 597