USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

30 TAHUN PPKK, KEKAL CEMERLANG DAN BERPRESTASI TINGGI

320274694 696334545481765 9187811536593330631 n

NIBONG TEBAL, 21 Disember 2022 – Sambutan 30 tahun Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi platform penting dalam meraikan pencapaian pusat pengajian tesebut dalam segenap bidang.

Hasil pencapaian dan kejayaan yang dilakar oleh pensyarah, pelajar dan staf telah mengharumkan nama PPKK di dalam dan luar negara sebagai pusat rujukan kepakaran dalam bidang kejuruteraan kimia yang terkemuka di persada dunia.

Ahli Lembaga Gabenor USM, Noor Azam Mohd Noor dalam ucapan perasmian beliau di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 PPKK di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan hari ini, berkata, “PPKK sebagai sebuah pusat pengajian bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah aktiviti penyelidikannya juga.”

321035004 1061187954727025 3459613047468253236 n

“Sepanjang 30 tahun, ia telah memaparkan kejayaan serta kecemerlangan sebagai salah satu daripada pusat pengajian terbaik di USM dengan memperolehi 450 geran penyelidikan yang berjumlah lebih dari RM70 juta,” kata Azam.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan peranan penting PPKK dalam landskap pendidikan tinggi, secara langsung akan membantu pertumbuhan tenaga profesional Malaysia ke arah negara maju melalui Program Transformasi Nasional 2050 di masa akan datang,” tambah beliau.

Mewakili Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria, yang juga Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, dalam ucapan beliau berkata, pencapaian PPKK selama 30 tahun ini dalam bidang akademik dan penyelidikan seharusnya menjadi role model dan benchmark kepada pusat-pusat pengajian lain di universiti ini.

“Contohnya, daripada lebih 2,500 jumlah keseluruhan penerbitan PPKK, 1,850 daripadanya berjaya diterbitkan di dalam jurnal Q1 dan Q2 dengan 94,000 cumulative citations,” kata Azazi.

“Ia disokong lagi dengan kejayaan ikon-ikon tersohor pusat pengajian ini sendiri seperti Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad dan Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang mana masing-masing merupakan Ahli Lembaga Gabenor serta Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM,” tambah beliau.

Mewakili PPKK, Dekannya, Profesor Ts. Chm. Dr. Ahmad Zuhairi Abdullah menyatakan ucapan terima kasih beliau kepada semua yang hadir ke majlis istimewa dalam meraikan usia 30 tahun pusat pengajian yang ditubuhkan sejak tahun 1992 ini.

“Tahniah kepada semua warga PPKK kerana telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam bidang penyelidikan dan jaringan kerjasamanya selama ini.

321046267 2444964342342696 3987325389564050738 n

“Semoga PPKK akan terus cemerlang dalam meluaskan sempadan pengetahuan dan teknologi demi melatih lebih ramai jurutera yang bersifat holistik di masa akan datang,” tambah beliau.

Pada majlis yang mengangkat tema “Sanggar Cendekia Sanjungan Bitara” ini, beberapa anugerah turut disampaikan iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Citra Pesona, Anugerah Citra Budi, Anugerah Sanggar Cendekia dan Anugerah Persona Bitara.

Turut hadir Ahli Lembaga Gabenor, Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Prof. Madya Dr. Hasni Arsad; Mantan Pengarah Kampus Kejuruteraan yang pertama, Dr. Mohd Muslim Mohd Yusoff; Mantan Dekan PPKK yang pertama, Ir. Abdul Aziz Omar; Ahli-ahli Panel Penasihat Industri & Komuniti serta pelajar-pelajar.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 375

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024