USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UCAPAN SELAMAT MENYAMBUT HARI KRISMAS DAN TAHUN BAHARU 2023

321510097 3422842667993796 9115046511515516618 n

USM PULAU PINANG, 24 Disember 2022 – Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), mewakili kepimpinan tertinggi universiti menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada seluruh warga USM serta semua alumni dan para sahabat di mana jua mereka berada.

“Sama-samalah kita raikan sambutan Krismas dengan penuh kasih sayang, hormat menghormati dan menggunakan sepenuhnya sambutan ini untuk mengukuhkan keakraban dan keharmonian yang sedia terjalin selama ini,” kata Narimah.

Katanya lagi, apa pun yang kita lakukan, jangan lupa mereka yang bernasib malang dan ditimpa musibah terutamanya rakan-rakan dan seluruh umat manusia yang berhadapan krisis kemanusiaan, peperangan, penindasan dan bencana lainnya serta mengambil iktibar dan bersyukur dengan segala nikmat yang kita kecapi selama ini.

“Dalam pada kita meraikan sambutan ini, jangan lupa kepada mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur yang ditimpa musibah sejak awal minggu lalu dan juga keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

“Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan setakat yang terdaya, salurkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab menguruskannya.

“Jangan mengambil mudah juga dengan apa yang ada dan terlibat dalam aktiviti yang mengancam kesejahteraan masyarakat, agama dan negara, sebaliknya berusaha gigih untuk memelihara dan memberikan sumbangan untuk kelangsungan dan kebaikan manusia sejagat,” tambah Narimah lagi.

Beliau turut berharap agar sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah dan warga Universiti terutamanya yang beragama Kristian akan berpeluang untuk meluangkan masa berharga dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, setelah sekatan akibat pandemik COVID-19 dimansuhkan.

“Kepada yang pulang ke kampung halaman untuk bercuti, saya seru untuk waspada dan berhati-hati di jalan raya,” ujar beliau.

Narimah juga mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 kepada semua dan mengharapkan tahun baharu ini akan membawa lebih lagi kesejahteraan, kebahagiaan dan kecemerlangan kepada semua, apatah lagi kepada Universiti.

“Saya mengharapkan 2023 ini akan kita lalui bersama-sama sebagai satu pasukan yang kental dan cekal dalam menghadapi segala cabaran dan perubahan, serta merealisasikan segala amanah dan tanggungjawab yang ada untuk terus mermartabatkan Menara Ilmu dan membawa universiti yang kita cintai ini ke mercu kejayaan,” kata Narimah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KRISMAS DAN TAHUN BAHARU 2023.

  • Created on .
  • Hits: 1244

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024