USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SAMBUT HARI AIDS SEDUNIA

WhatsApp_Image_2022-12-26_at_1.18.19_AM.jpeg

USM PULAU PINANG, 16 Disember 2022 – Pada setiap tahun, 1 Disember diraikan sebagai Hari Sambutan AIDS Sedunia (Worlds AIDS Day).

Pada tahun ini 'Equalize: Breaking the Stigma', iaitu ‘Kesaksamaan untuk Kesihatan bagi Mengakhiri AIDS’ merupakan tema yang dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) meraikan Worlds AIDS Day 2022.

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui inisiatif Pusat Sejahtera (Kesihatan & Pergigian) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Kumpulan Bertindak dan Penyelidikan AIDS (AARG), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) telah menganjurkan satu forum bertajuk "Sembang Santai Riben Merah" sempena Worlds AIDS Day ini.

Program yang dirasmikan oleh Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat, diadakan untuk meningkatkan kesedaran HIV dan AIDS dalam kalangan staf dan pelajar USM.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan pada tahun 2021, sebanyak 38.4 juta populasi dunia menghidap HIV, yang mana 1.7 juta penghidap adalah kanak-kanak,” ujar Narimah dalam ucapannya.

Narimah turut menambah, mengikut statistik terbaru Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar jangkitan HIV/AIDS di Malaysia telah mencatatkan penurunan 70% dalam tempoh 20 tahun kebelakangan, namun kadar penurunan kes HIV dan liputan rawatan ini belum cukup untuk mencapai matlamat membendung epidemik AIDS menjelang 2030.  

“Justeru usaha pencegahan, ujian dan rawatan HIV perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan,” katanya.

Hadir sama ke program ini adalah Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Normala Abd Hamid; Timbalan Konvenor AARG, Prof. Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh; Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian HIV/STI, JKN Pulau Pinang, Dr. Janisah Abdul Ghani; Pakar Perubatan Klinik Kesihatan Jalan Macalister, Dr. Anita D. Jain dan Penyelaras Program Persatuan Insaf Murni, Eyta Suhaimin.

Turut diadakan juga adalah pameran daripada KKM, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut Pulau Pinang dan saringan kesihatan oleh Pusat Sejahtera USM.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin

  • Created on .
  • Hits: 437

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024