MPP USM SEDIA GALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI PEMIMPIN JAGA KEBAJIKAN PELAJAR
USM PULAU PINANG, 11 Disember 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyaksikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Lafaz Ikrar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bagi Sidang Akademik 2022/2023.
Pemilihan para pemimpin MPPUSM telah disempurnakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dengan kerjasama Sekretariat Pemilihan MPPUSM, yang mana peratusan mengundi pada tahun ini mencecah lebih 70 peratus.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, "Alhamdulillah, pada tahun ini terdapat peningkatan signifikan sebanyak 36% yang menjadikan jumlah peratusan mengundi pada tahun ini adalah sebanyak 71%.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan kepada Jawatankuasa Pemilihan MPP kerana berjaya menjadi pemangkin kepada pembangunan dan penglibatan pelajar dalam program-program mahasiswa USM,” katanya.
Mereka yang terpilih diketuai oleh saudara Afirul Idris Ayub Khan selaku Yang Dipertua (YDP) MPP USM Sidang Akademik 2022/2023 dan dibantu oleh saudara Muhammad Zikri Rosle selaku Naib Yang Dipertua 1, saudari Andi Arnaisah Andi Arnis selaku Setiausaha Agung dan saudara Jeremy Lau Wei Han selaku Bendahari.
“Mengambil kesempatan ini, saya selaku YDP MPP USM bagi sidang terkini ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh mahasiswa USM atas kepercayaan yang diberikan kepada diri saya dan rakan-rakan seperjuangan saya bagi menerajui kepimpinan MPP USM,” ujar Afirul dalam ucapannya.
“Suka juga saya ingatkan kepada rakan-rakan seperjuangan saya dalam MPP berkenaan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul dalam menggalas jawatan sebagai pemimpin pelajar ini.
“Kebajikan mahasiswa adalah keutamaan kita semua. Tanggungjawab dan amanah ini bukanlah mudah untuk dipikul tetapi ia menjadi satu perkara mandatori bagi setiap daripada kita sebagai pemimpin pelajar untuk berusaha sehabis baik demi menjaga kebajikan mahasiswa USM,” katanya lagi.
Sesi penyerahan watikah pelantikan disampaikan oleh Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat.
Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; pengurusan tertinggi USM serta ketua-ketua jabatan universiti.
Teks: Nurhidayah Shahbuddin
- Created on .
- Hits: 645