USM TANDATANGAN PERJANJIAN DENGAN OPPSTAR TECHNOLOGY UNTUK BANGUN MAKMAL DAN PENYELIDIKAN
USM PULAU PINANG, 9 Disember 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Oppstar Technology Sdn. Bhd. hari ini untuk membangunkan makmal dan bekerjasama dalam penyelidikan di samping peluang latihan kepada pelajar.
Dokumen ditandatangani oleh Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor dengan Oppstar Technology yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Tan Chun Chiat.
Melalui MoA ini, Oppstar Technology menyumbangkan lebih RM750,000 untuk tabung penyelidikan USM selama tiga tahun dan membantu pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik menjalani latihan industri sebagai pendedahan kepada projek industri.
Program ini juga akan memberi peluang kepada para penyelidik untuk melakukan penyelidikan berimpak tinggi yang melibatkan industri terutamanya dalam "integrated circuit design (IC Design)".
Kerjasama ini juga melibatkan kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang melibatkan projek tahun akhir melalui penubuhan makmal "USM-Oppstar Centre of Development Laboratory" di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal.
Hadir sama ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi dan pegawai-pegawai kanan Oppstar Technology.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 514