MEMAHAMI PELBAGAI BUDAYA MELALUI USAHA PENTERJEMAHAN
USM PULAU PINANG, 22 Disember 2022 – Kefahaman terhadap pelbagai budaya penting dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu untuk pembangunan negara.
Penterjemahan karya termasuk buku dan media elektronik dalam pelbagai bahasa penting dalam memperkasa usaha ini.
Menyedari pentingnya usaha ini, Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha melahirkan penterjemah-penterjemah profesional untuk mengisi keperluan ini.
Program Terjemahan dengan Interpretasi di USM merupakan satu-satunya program terjemahan dan interpretasi pada peringkat ijazah sarjana muda yang ditawarkan di Malaysia.
Orang ramai kini berpeluang melihat hasil kerja penterjemahan pelajar melalui Pameran Projek Terjemahan 2022 atau PAROJA pada 19 hingga 30 Disember 2022 di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM antara jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Seramai 38 orang pelajar tahun akhir terlibat dalam pameran ini yang mempamerkan sebanyak 15 buah karya sumber daripada bahasa Inggeris, bahasa Jepun dan bahasa Cina diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Program ini mula ditawarkan di Pusat Bahasa dan Terjemahan pada tahun 1992, dan kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan pada tahun 1998.
Kursus-kursus terjemahan dan interpretasi memberikan maklumat tentang teori-teori terjemahan dan interpretasi serta pelatihan dalam terjemahan dan interpretasi.
Pelajar didedahkan kepada kaedah terjemahan/interpretasi; proses penterjemahan dan interpretasi seperti penyuntingan, penterjemahan berbantukan komputer, kejurubahasaan, penyarikataan, lokalisasi dan sebagainya; elemen budaya dalam bahasa; dan etika profesional dalam bidang ini.
Objektif program ini adalah untuk melahirkan siswazah yang bukan sahaja memahami teori terjemahan dan interpretasi, malah dapat mengaplikasikan kaedah yang dipelajari dalam tugasan terjemahan dan interpretasi; dapat memahami jenis-jenis interpretasi yang berbeza (pandang, berturutan dan serentak); serta mahir dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris (dan bahasa-bahasa lain) dan dapat menterjemah dan menginterpretasi dalam bahasa-bahasa tersebut.
Objektif program ini juga adalah untuk menghasilkan siswazah yang dapat bekerja dalam pelbagai industri dan organisasi di dalam dan di luar negara; siswazah yang dapat menyumbang kepada negara sebagai pengantara dalam aspek bahasa, budaya, politik dan sosial di dalam dan di luar negara; dan juga siswazah yang bersikap profesional dalam mengendalikan tugasan terjemahan dan interpretasi.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 489