'ANE BASHA' ABDIKAN 20 TAHUN TEBAR ROTI DI SUBAIDAH USM
USM PULAU PINANG, 23 Disember 2022 – Kelibat dan senyuman manis kakitangan Restoran Subaidah di premis Universiti Sains Malaysia (USM) yang mesra disapa 'Ane Basha' pastinya akan dirindui oleh warga USM.
Beliau yang telah lebih 20 tahun mengabdikan khidmat menyediakan roti canai dan pelbagai menu lain di restoran berkenaan kini mengambil keputusan pulang ke negara asalnya, India bagi meneruskan kehidupan.
Beliau berkata, walaupun berat untuk mengambil keputusan pulang ke kampung halaman, namun atas faktor usia dan tempoh yang cukup lama di sini, beliau akur.
"Saya sebak hendak meninggalkan Malaysia, apatah lagi USM. Saya suka segala-galanya yang ada di sini. Warga USM semuanya sangat baik dan saya senang bekerja di sini," katanya yang kini telah berusia 51 tahun.
Paling mengejutkan, walaupun telah lebih 20 tahun bekerja di Pulau Pinang, beliau tidak pernah sekalipun keluar bercuti ke negeri lain atau bersiar-siar.
Malah, beliau juga tidak pernah berkunjung ke pantai kerana baginya, kedatangannya ke negara ini adalah untuk bekerja.
"Saya jarang-jarang ambil cuti. Kadang-kadang kalau hari cuti pun saya akan ke restoran untuk bantu kawan-kawan bekerja.
"Ketika pandemik dan Restoran Subaidah dalam kampus ditutup, saya membantu di restoran Seberang Jaya yang tidak menutup operasi," ujarnya yang berupaya menebar roti canai sehingga 800 keping sehari.
Ditanya mengenai pengalaman manisnya di USM, Basha mengakui beliau suka dengan keramahan warga di sini dan ada di antaranya telah dikenali dengan baik dan tahu menu kegemaran mereka setiap pagi.
"Ada suka roti nipis, tebal, garing, banjir dan sebagainya. Semua saya tahu kerana saya staf yang paling lama bekerja di sini. Sudah pastinya suasana di sini akan meninggalkan kesan pada saya," tambah beliau.
Basha yang pertama kali datang ke Malaysia pada 2001 mempunyai perancangan tersendiri di kampung halamannya iaitu ingin membuka kedai makan seperti di sini.
"Walaupun saya sedih meninggalkan USM, namun terselit juga kelegaan kerana akan kembali bersama keluarga tercinta yang saya tinggalkan. Saya dan isteri bersama dua orang anak akan meneruskan hasrat kami untuk membuka restoran," katanya.
Beliau juga menambah, sepanjang berada di sini, beliau hanya tiga kali pulang ke India, di samping turut bersedih kerana tidak dapat menziarahi ibunya yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada tahun lalu.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Amin Zainal Kamarudin
- Created on .
- Hits: 5771