PUSAT PENGURUSAN BENCANA USM SEDIA BERGERAK BANTU MANGSA BANJIR
PULAU PINANG, 21 Disember 2022 – Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia turun padang membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Penolong Pendaftar Kanannya, Tuan Salman Tuan Jaafar berkata, pihaknya baru sahaja mengadakan pertemuan dengan beberapa pertubuhan sukarela dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kami akan bekerjasama dengan semua pihak terutamanya MKN untuk menyebarkan maklumat dan modul pengurusan bencana terutamanya untuk membantu warga USM yang terkesan oleh banjir," kata Tuan Salman.
Katanya, fasa pertama penghantaran barangan keperluan harian, ubat-ubatan asas, barangan pencucian, makanan tin dan bot beserta enjin akan mula dihantar pada esok pagi kepada Bilik Gerakan Banjir Kampus Kesihatan yang akan menyelaraskan dari segi lokasi edaran.
"Fasa seterusnya ialah menghantar sukarelawan USM yang melibatkan warga staf dan pelajar untuk membantu apabila keadaan membenarkan berbuat demikian," katanya lagi.
Pusat Pengurusan Bencana USM ditubuhkan pada tahun 2020, yang bertindak sebagai penyelaras bagi membantu komuniti menghadapi pandemik COVID-19 dan kini diperluaskan kepada penyelarasan bantuan bencana lainnya.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1744