MASJID AL-MALIK KHALID USM DINOBAT JOHAN ASPEK PENGURUSAN DAN PRASARANA MASJID PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
TASEK GELUGOR, PULAU PINANG, 15 Disember 2022 – Masjid Al-Malik Khalid Universiti Sains Malaysia (USM) dinobat sebagai Johan dalam Anugerah Penarafan Masjid Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022, anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
Pada majlis tersebut, Masjid Al-Malik Khalid USM mendahului masjid-masjid seluruh negeri Pulau Pinang dalam aspek Pengurusan dan Prasarana Masjid Kategori A.
Pengiktirafan oleh JHEAIPP itu adalah berdasarkan kepada penilaian Audit Penarafan Masjid yang telah dijalankan oleh JHEAIPP terhadap masjid-masjid di seluruh negeri Pulau Pinang.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Islam, USM merangkap Imam Masjid Al-Malik Khalid USM, Ustaz Zayd Zhari, kejayaan ini amat bermakna buat Masjid Al-Malik Khalid kerana buat julung kalinya dianugerahkan bagi kategori tersebut apatah lagi dinobatkan antara yang terbaik dari seluruh masjid di negeri Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T. di atas pencapaian Masjid Al-Malik Khalid USM yang telah diumumkan sebagai johan dalam anugerah tersebut dan saya bagi pihak Masjid Al-Malik Khalid mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih buat JHEAIPP di atas penganugerahan ini,” kata Zayd Zhari.
Tambah beliau, kejayaan ini akan memotivasikan pengurusan dan pentadbiran Masjid Al-Malik Khalid untuk terus mengorak langkah bagi memastikan urus tadbir masjid berada pada tahap yang jauh lebih baik selepas ini.
Masjid Al-Malik Khalid USM telah dianugerahkan hadiah kemenangan berjumlah RM20,000 dalam bentuk projek pembinaan/pembaikan masjid, beserta sijil dan hadiah iringan.
Penyampaian Anugerah Penarafan Masjid Negeri Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, sempena Majlis Pentauliahan Jawatankuasa Kariah, Pegawai Masjid/Siak Serta Guru Takmir dan Penyampaian Anugerah Penarafan Masjid Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah diadakan pada 13 Disember 2022 bertempat di Dewan Pusat Konvensyen PERDA, Kubang Menerong, di sini.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar & Ustaz Zayd Zhari/Foto: Ihsan Pusat Islam USM
- Created on .
- Hits: 587