USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMIMPIN PELAJAR DISERU TEROKAI PELUANG BAHARU

USM 8585

USM PULAU PINANG, 11 Disember 2022 – Pemimpin-pemimpin pelajar diseru untuk menerokai apa jua peluang untuk mengkayakan diri dengan ilmu dan pengalaman baharu di samping mempunyai kelainan dalam menjalankan aktiviti mereka.

Menurut Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, pemimpin-pemimpin pelajar perlu menunjukkan kelainan dalam menjalankan aktiviti, apatah lagi USM menyediakan peruntukan yang besar untuk memberi peluang kepada pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti bertaraf dunia yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Beliau berucap di Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan dan Ikrar Majlis Perwakilan Pelajar USM di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa USM petang ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dato' Dr. Nor Azazi Zakaria serta ketua-ketua jabatan USM.

Pada majlis tersebut, pelajar tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Afirul Idris Bin Ayub Khan dilantik sebagai Yang Dipertua MPPUSM 2022/2023.

Menurut Narimah, pemimpin-pemimpin pelajar perlu menunjukkan kredibiliti dan kesungguhan untuk dicontohi sebagai pemimpin yang unggul dan disegani.

"Anggaplah landasan MPPUSM ini sebagai peluang untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan dalam mencabar diri mencapai kecemerlangan setinggi-tingginya," ujar beliau.

Tambah beliau, MPPUSM perlu merangka aktiviti-aktiviti yang kreatif dan inovatif untuk melonjakkan persepsi dan jenama USM yang berdasarkan inisiatif HEBAT dan berfikiran terbuka.

Ini termasuklah aktiviti-aktiviti yang dapat merapatkan jaringan di peringkat tempatan dan antarabangsa yang memberi peluang untuk semua pelajar berinteraksi seluas-luasnya, mengkayakan ilmu dan pengalaman serta berinteraksi secara global dengan nilai-nilai universal.

Tambah beliau, MPPUSM wajar menjadi institusi yang boleh dibanggakan oleh Universiti, sebagai wadah pengembangan dan pemerkasaan bakat yang disegani dan dihormati.

"Gunakanlah ruang dan peluang yang ada untuk meluaskan jaringan dan membuka pemikiran secara global, bukan hanya menjadi juara kampus semata-mata.

"Rancanglah aktiviti-aktiviti yang mempunyai impak WOW untuk bersaing dengan mereka yang berada di universiti-universiti lain," kata Narimah.

Menurut beliau lagi, peranan pemimpin pelajar sekarang ini semakin jauh berubah dari hanya menjaga kebajikan pelajar tetapi juga menjadi suri teladan untuk diikuti oleh pelajar-pelajar lain.

"Corak dan cara pemikiran pemimpin pelajar era ini perlu berubah seiring dengan perubahan masa dan lanskap politik negara serta perlu berfikiran terbuka dan tidak hanya kepada isu-isu peribadi dan emosi.

Beliau juga meminta MPPUSM terus bersama-sama universiti dalam menjaga kebajikan pelajar serta menanamkan budaya ilmu yang berterusan dalam melahirkan pemimpin dan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

"Para pelajar perlu menjadi pemimpin yang berintegriti yang boleh dicontohi oleh mereka di luar sana, yang apabila bercakap menggunakan data dan fakta, dan tidak hanya menggunakan emosi," tegas beliau.

Narimah juga meminta MPPUSM sentiasa memberi pandangan dan maklumbalas kepada universiti yang berkaitan kebajikan pelajar, serta boleh memberi cadangan penambahbaikan terhadap sebarang inisiatif universiti, termasuk memantau dan menangani isu kesihatan mental pelajar yang menjadi antara perkara yang perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Sekretariat Pemilihan MPPUSM yang berjaya meningkatkan peratusan mengundi dalam kalangan pelajar sehingga melebihi 75% pada 2 Disember 2022 lalu.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 366

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024