USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMETAAN PELAJAR DAN STAF DITIMPA BENCANA

9418074524243221904

USM PULAU PINANG, 7 Disember 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengurusan Bencana atau Nerve Centre mula melakukan pemetaan untuk mengenal pasti lokasi pelajar dan staf yang berkemungkinan terlibat dengan bencana seperti banjir di seluruh negara.

Menurut Pengarahnya, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat ini yang ditubuhkan ketika negara dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2019, berusaha secara berterusan mengenal pasti dengan tepat di mana warga USM berada apabila berlaku sesuatu bencana untuk membolehkan bantuan segera diberi.

"Ini termasuklah menghantar sukarelawan yang terlatih ke tempat kejadian untuk memberi bantuan dengan lebih terancang," katanya.

Pusat Pengurusan Bencana ini memainkan peranan penting semasa menyelaraskan proses yang terlibat semasa pandemik COVID-19 termasuk membantu pihak berkuasa membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di dalam kampus.

Pusat ini memfokuskan kepada lima teras utama usaha membantu mereka yang berhadapan masalah iaitu yang berkaitan dengan bencana, krisis, wabak penyakit, kesihatan mental dan kesukarelawanan.

Menurut Sivamurugan, Pusat ini berusaha mewujudkan pengurusan penyelarasan bersepadu untuk mengukuhkan kesejahteraan, keselesaan dan kerukunan seluruh warga serta komuniti seluruhnya.

"Dari semasa ke semasa, kami akan melatih dan menganjurkan kursus-kursus yang dapat meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana dan krisis dengan lebih profesional dan terancang," jelas beliau lagi.

Tegasnya, penubuhan pusat ini akan membolehkan usaha-usaha terancang dibuat secara berterusan memandangkan kita sentiasa terdedah kepada pelbagai isu yang berkaitan termasuk kesihatan mental.

"Sukarelawan kita perlu dilatih dan diberikan panduan dalam menghadapi isu-isu ini terutamanya dalam kalangan pelajar dan staf universiti," kata Sivamurugan.

Turut hadir dalam sesi perjumpaan ringkas itu ialah Pengurus dan Ketua Operasi, Pusat Pengurusan Bencana USM, Tuan Mohd Salman Tuan Jaafar.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 363

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024