USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUS BERUSAHA TINGKATKAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN

IMG 8970

USM PULAU PINANG, 3 Disember 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

"Kita bersyukur apabila dilaporkan berada di tangga teratas negara untuk Global Employability University Ranking and Survey (GEURS) yang terbaru sekaligus menunjukkan graduan USM diterima oleh majikan dalam pekerjaan.

"Malah kajian kebolehpasaran graduan negara pun menunjukkan lebih 90% graduan USM telah mendapat pekerjaan ketika hadir ke upacara konvokesyen," kata Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor di Sidang Pertama, Upacara Konvokesyen Ke-60 USM.

Pada sidang tersebut, Canselor USM DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berangkat menyampaikan ijazah kepada 478 orang graduan dari keseluruhan 7,320 orang yang menerima ijazah pada kali ini.

Turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Menurut Narimah, USM dari semasa ke semasa sentiasa berusaha menghasilkan siswazah yang berkualiti tinggi dan diterima di dalam pasaran kerja dan memimpin komuniti.

Kini alumni USM berada di seluruh dunia malah tidak kurang juga yang memimpin masyarakat dan industri di dalam mahu pun di luar negara.

Universiti juga secara berterusan membina sahsiah pelajar melalui pelbagai agenda dan inisiatif yang diambil.

"USM akan terus memberi perhatian kepada kebolehpasaran graduan melalui pelbagai usaha berterusan seperti inisiatif pembangunan bakat dan pembangunan HEBAT, program-program berfokus seperti Program Life dan Pitch@USM, pembangunan keusahawanan dan pelbagai inisiatif lagi.

USM memberikan peruntukan khas kepada pelajarnya untuk mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan peringkat dunia seperti dalam pertandingan Spaceport America Cup 2022 yang merupakan persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti yang terbesar di dunia.

USM turut memperkukuh kerjasama dengan industri melalui panandatanganan persefahaman untuk kemudahan makmal dan internship kepada pelajar di samping berusaha merapatkan jurang mereka yang mendapat pekerjaan dalam bidang pengajian masing-masing dengan yang tidak berbuat demikian," kata Narimah.

Menurut beliau lagi, USM berusaha memastikan semua pelajar mengikuti program internship dalam bidang pengajian masing-masing serta secara kreatif mengambil langkah-langkah proaktif dalam penawaran pengajian secara pesisir.

"Di samping memperkasa program sedia ada, USM turut menerokai pasaran baharu seperti ke Turkiye dan Timur Tengah serta membawa pelajar antarabangsa ke kampus-kampus USM, termasuk yang terbaharu di luar kampus USM di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Melalui penawaran program-program ini, USM berusaha mengoptimumkan sumber yang ada di samping sentiasa memantau dan mengawal ketat kualiti pengajian yang ditawarkan oleh pelbagai pusat pengajian.

“Yang terkini juga, USM menawarkan program pengajian Massive Open Online Courses (MOOC) secara bersasar kepada industri untuk meningkatkan kemahiran bakat dalam bidang-bidang tertentu," jelas Narimah.

Menurut beliau lagi, semua ini dilakukan untuk meningkatkan daya saing graduan di pasaran terbuka dengan memantapkan penguasaan ilmu pengetahuan termasuk kompetensi digital dan komunikasi yang sangat diperlukan oleh industri.

Beliau menyeru para graduan untuk bersikap bijaksana dalam menggunakan ilmu pengetahuan untuk memajukan diri dan komuniti.

"Gunakanlah ilmu yang dipelajari di universiti dengan sebaik-baiknya untuk menunjukkan kehebatan alumni universiti ini yang sentiasa berusaha, berbakti dan berbudi," tegas Narimah.

Pada upacara yang sama, dua orang tokoh akademik dikurniakan gelaran Profesor Emeritus iaitu Dato’ Sri Dr. Daing Mohd Nasir Daing Ibrahim dan Dato’ Dr. Wan Mohamad Wan Bebakar.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 985

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024