USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GRADUAN DISERU BIJAK REBUT PELUANG, MANFAATKAN ILMU UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA

IMG 9147

USM PULAU PINANG, 4 Disember 2022 – Graduan Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk sentiasa bijak mencari dan merebut peluang baharu dengan ilmu yang dipelajari demi memanfaatkan masyarakat dan pembangunan negara secara keseluruhannya.

Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur berkata, untuk menjadi individu yang berjaya, graduan hendaklah sentiasa mencari peluang memperjuangkan cabang ilmu yang digali. 

"Universiti bukan sekadar kilang yang menghasilkan produk. Tetapi universiti mempunyai tanggungjawab besar pada semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama.

“Kini, tanggungjawab itu di bahu anda semua. Dengan membawa nama USM, paculah dan tempatkan universiti tercinta ini di puncak dunia," ucap beliau ketika hadir menyampaikan ijazah-ijazah buat para graduan di Sidang Kedua, Upacara Konvokesyen ke-60 USM.

Tambah beliau, pandemik COVID-19 yang melanda sebelum ini mungkin merencatkan semangat dan emosi para graduan, namun detik bersejarah hari ini telah membuktikan kekangan itu bukanlah titik noktah kepada apa yang telah dimulakan oleh setiap graduan untuk kehidupan yang lebih cemerlang.

"Sebaliknya jadikan itu cabaran dan pemangkin semangat untuk anda semua terus melangkah. Mendepani arus pemodenan yang semakin pantas, melangkah gagah tetapi menunduk penuh berisi. 

"Kekalkan jati diri, hadapi dunia realiti tanpa sempadan. Graduan USM merupakan anak jiwa merdeka, menggalas harapan dan maruah bangsa," kata Mustafa selepas menyampaikan Ijazah buat sejumlah 299 orang graduan yang hadir di sidang kedua.

Sidang Kedua Upacara Konvokesyen ke-60 USM kali ini membabitkan graduan-graduan USM yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Kedoktoran dan Sarjana Sains, Kesihatan, Perubatan, Pergigian, Farmasi, Neurosains, Patologi dan Surgeri.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 483

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024