SUMBANGAN USM UNTUK KELESTARIAN
Oleh Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat, yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM
*Disesuaikan dari Teks Ucapan Sidang Ketujuh Upacara Konvokesyen Ke-60 USM pada 9 Disember 2022
Syabas dan tahniah kepada semua graduan yang menerima ijazah masing-masing. Syabas dan tahniah juga kepada ibu bapa dan keluarga yang memberi sokongan kepada anak-anak dan mereka yang tersayang sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah pada hari ini. Tanpa sokongan keluarga tentunya sukar untuk para graduan mengharungi pengajian mereka.
Para graduan perlu mencontohi mereka yang telah berjaya dalam hidup seperti yang ditunjukkan oleh Pro-Canselor, YBhg. Tan Sri Dato' Dr. M. Jegathesan ini yang sentiasa bersemangat kental dan cekal dalam bidang olahraga yang diminatinya, dan juga seorang berilmu pengetahuan tinggi. Beliau merupakan ikon dan lagenda yang perlu dikenali dan dipelajari, bukan sahaja yang disegani dengan pencapaian unggulnya dalam olimpik dunia, tetapi juga tidak pernah jemu belajar dan berkongsi pengalamannya.
USM berbangga apabila diiktiraf mendapat kedudukan keempat dunia Times Higher Education Global Impact Ranking (THE GIR) yang mengukur sumbangan kita terhadap pencapaian Sustainable Development Goals Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pencapaian ini amat signifikan dengan USM kerana sejak penubuhannya, agenda kelestarian sentiasa mendapat tempat istimewa di hati kita.
Agenda kelestarian yang menekankan kepada menjaga alam, membantu menangani isu kemiskinan masyarakat, perubahan iklim dunia dan pembangunan sosial termasuk golongan terpinggir diperkukuhkan lagi apabila USM dipilih menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau APEX pada tahun 2008.
USM memulakan program kajian kemiskinan yang melahirkan Projek Ikhtiar dan kemudiannya Projek Tekun untuk membantu wanita dan kumpulan B40 keluar dari kemiskinan sejak tahun 1970-an dan 1980-an, yang kemudiannya menjadi projek nasional.
USM juga memperkukuhkan lagi usaha ini apabila melaksanakan APEX yang menekankan kepada membantu kumpulan terkebawah masyarakat termasuk mengambil masuk pelajar-pelajar warga B40, warga emas, warga sukan dan warga OKU untuk mengikuti pengajian di sini.
USM juga universiti pertama mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar cerebral palsy Tan Chin Chin, graduan Sains Kemasyarakatan Antropologi Sosiologi dalam Upacara Konvokesyen Ke-35 sebagai penerima Pingat Emas Canselor dan mewujudkan pingat emas USM untuk pelajar OKU.
Malah USM mula memperkenalkan istilah Orang Kelainan Upaya pada ketika itu untuk memberikan gambaran bahawa mereka ini mempunyai keupayaan yang berlainan dan bukannya kurang upaya. Mereka ada kelebihan dan kekuatan tersendiri yang perlu dihargai. Kebajikan mereka sentiasa diberikan keutamaan dan fasiliti yang ada di dalam kampus diberi penambahbaikan secara berterusan untuk membantu golongan ini.
USM juga terus memberi penekanan kepada 17 Sustainable Development Goals atau Matlamat Pembangunan Lestari dengan penubuhan Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dan Majlis Kelestarian Universiti yang membantu melaksanakan penawaran pengajian dan aktiviti yang berkaitan. USM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan melalui perkongsian kepakaran ilmuwan yang ada sehingga membolehkan produk yang dihasilkan kini mendapat tempat di pasaran dunia termasuk Jepun dan Amerika Syarikat.
Sekarang ini juga banyak hasil penyelidikan ahli akademik USM dipindahkan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat misalnya ternakan tiram, mentarang dan kupang, Black Soldier Fly Larvae (BSFL): Inovasi Makanan Haiwan Masa Hadapan, Projek Pembangunan Produk Rambutan dan lain-lain lagi, setelah kejayaan pengeluaran serta pemasaran madu kelulut dan gula apong.
Ini menunjukkan betapa relevannya isu kelestarian dan dekatnya universiti dengan masyarakat serta bagaimana kita sentiasa prihatin dengan pelbagai golongan yang ada.
Hal inilah yang perlu dicontohi oleh para graduan. Gunakanlah kebolehan dan ilmu pengetahuan yang ada untuk membangunkan diri dan masyarakat secara berterusan dan berintegriti.
Para graduan telah melalui pelbagai proses pendidikan kendiri untuk pembangunan bakat yang berterusan semasa di universiti. Pelbagai peluang telah diperolehi seperti program keusahawanan, kepimpinan mahupun pembangunan sahsiah diri untuk menghadapi masa hadapan.
Teruskan usaha mengkayakan diri dengan ilmu pengetahuan yang pesat berkembang dan sentiasa prihatin kepada masyarakat. Buktikanlah yang alumni USM sentiasa berpegang kepada nilai kelestarian, seperti mana perjuangan mahasiswa USM terdahulu untuk mendidik masyarakat tidak menggunakan polistrina dan plastik, demi menjaga alam sekitar serta sentiasa berhemah dan berbakti kepada mereka yang memerlukan termasuk golongan OKU.
Dalam konteks yang sama, para graduan perlu melunaskan pinjaman kewangan pengajian yang diberikan oleh penaja seperti Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN), yang penting untuk kelestarian mereka membantu pelajar yang mengikuti pengajian di universiti pada masa hadapan. Ini adalah antara amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan segera.
Ibu bapa dan keluarga perlu sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak serta ahli keluarga untuk mencapai lebih banyak lagi kejayaan pada masa hadapan. Banyakkan sabar dalam menghadapi cabaran hidup dan tidak pernah mengalah biarpun dilambung badai kehidupan yang perit. Jangan malu dan segan untuk meminta nasihat profesional jika perlu.
- Created on .
- Hits: 875