PENERBIT USM TERBIT SEMULA BUKU PUISI SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN SELEPAS 48 TAHUN
SHAH ALAM, 9 Disember 2022 – Penerbit USM, Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan semula buku pertama terbitannya bertajuk Sesayup Jalan karya Sasterawan Negara, Dato' Dr. Zurinah Hassan hari ini.
Buku tersebut dilancarkan oleh Sasterawan Negara, Dato' Rahman Shaari di Pentas Utama Pesta Buku Selangor, Pusat Konvensyen MBSA di sini.
Menurut Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun, selepas hampir 48 tahun tersimpan rapi dalam kenangan, buku Sesayup Jalan kembali diangkat oleh USM sebagai nilai sejarah yang tiada tolok bandingnya, bahkan ia merupakan khazanah negara yang harus diakui oleh semua pihak.
"Penerbitan merupakan nadi kepada perkembangan ilmu bagi sebuah Universiti. Aktiviti penerbitan di USM bermula pada tahun 1972 dengan tertubuhnya Penerbit USM di bawah Jabatan Perpustakaan.
"Sejak itu, USM melalui Penerbit USM muncul sebagai wadah kepada penerbitan buku-buku akademik dan ilmiah, dan buku Sesayup Jalan telah menjadi buku pertama yang diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia, sekaligus mengangkat tema kesusasteraan Melayu, hasil karya seorang mahasiswi USM yang memiliki bakat yang sangat luar biasa," kata Nazarudin.
Buku ini diterbitkan di bawah kategori USM Popular yang memperkasakan dasar dan strategi penerbitan untuk memastikan proses penerbitan buku dapat dilakukan dengan lebih pantas, efektif dan berdaya saing.
Jelasnya, penubuhan Bahagian Penerbitan Popular (BPP) adalah lambang kesungguhan dan komitmen Penerbit USM untuk menghasilkan buku yang berkualiti, berdaya saing dan kekal sebagai peneraju dalam kalangan penerbit di institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Menurut Nazarudin lagi, pada masa ini, USM Popular menumpukan kepada penerbitan buku dalam bidang agama, sastera dan akademik yang bakal menemui pembaca dengan gaya tersendiri.
Sesayup Jalan (cetakan pertama 1974) adalah kumpulan puisi penyair Zurinah Hassan yang mencatat beberapa sejarah dalam perkembangan puisi Melayu moden iaitu karya ini merupakan kumpulan puisi pertama, hasil karya seorang penulis wanita yang diterbitkan di Malaysia.
Sesayup Jalan ialah hasil karya Zurinah Hassan yang pertama diterbitkan dalam bentuk buku hasil dorongan Naib Canselor USM yang pertama Tan Sri Hamzah Sendut setelah membaca karya beliau di akhbar.
Penyair ini juga mencatat sejarah sebagai sasterawan wanita yang pertama menerima Anugerah Sastera Negara, iaitu anugerah tertinggi negara dalam bidang sastera yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Sesayup Jalan ialah judul buku yang pertama diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Kumpulan puisi ini mengandungi 37 buah sajak yang kebanyakannya telah terbit secara eceran di akhbar-akhbar mingguan dan majalah bulanan pada tahun-tahun akhir enam puluhan dan awal tujuh puluhan, menggarapi tema seperti kemiskinan petani dan nelayan, kepayahan anak-anak kampung dalam mengejar pelajaran, hasrat dan harapan seorang mahasiswa, juga pencarian diri dan erti kehidupan oleh seorang anak muda.
Puisi-puisi awal ini tercetus oleh hal-hal yang dihadapi dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya, oleh itu menjadi cerminan kehidupan dan pergolakan masyarakat pada dekad tersebut.
Menurut Rahman Shaari, Zurinah Hassan mempunyai kemahiran untuk berpuisi dengan kaedah yang berbeza-beza. Namun, gaya dan identitinya kekal dipertahankan.
Pada dekad 1970-an, dia sudah mencapai tahap pengucapan yang bernas dan kemas, jadi, tidaklah menghairankan apabila kita mendapati Zurinah Hassan terus maju dari dekad ke dekad.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 589