KONVOKESYEN KE-60 USM: USIA BUKAN PENGHALANG MENGGENGGAM IJAZAH
PULAU PINANG, 6 Disember 2022 - Sidang Keempat Upacara Konvokesyen ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah meraikan seorang warga emas yang berumur 71 tahun sebagai penerima Ijazah Sarjana Sastera.
Osman Ayob yang berasal dari Sungai Yan, Kedah merupakan seorang penulis sepenuh masa dan telah menjadikan kerjayanya sebagai satu dorongan untuk melanjutkan pelajaran sehingga peringkat sarjana.
Sejak 2013, Osman telah memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sastera, namun permohonan Osman tidak diterima dan atas kesungguhannya, lima tahun kemudian permohonan semula Osman diterima untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sastera, Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di USM.
Dalam sesi temu bual, Osman berkata antara cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian beliau adalah dijangkiti ‘tuberculosis’ atau tibi selama hampir dua tahun dan walaupun berada dalam keadaan lemah, beliau amat bersemangat untuk meneruskan pengajiannya.
“Keadaan saya amat lemah ketika itu, namun ia tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan pengajian saya sehingga tamat dengan semangat yang kuat dan saya bersyukur semuanya berlangsung dengan baik,” katanya.
Tambah Osman lagi, beliau amat gembira kerana hasrat untuk menyambung pengajian ini juga adalah daripada dorongan isteri yang tidak putus memberi galakan kepadanya.
Apabila ditanya tentang rutin belajar, Osman berkata dia tidak mempunyai cara spesifik akan tetapi dia hanya ikut ‘mood’ ketika waktu lapang.
Osman juga merupakan pengarang buku Komsas Tingkatan 2, yang digunakan di Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan, bertajuk ‘Meniti Impian’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Seramai 524 graduan menerima ijazah masing-masing pada Sidang Keempat yang dipengerusikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 7,320 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing bermula dari Sidang Pertama hingga Keduabelas yang berlangsung dari 3 hingga 14 Disember 2022 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 561