RSY SEJAHTERA YOUTH USM HASILKAN BAHAN BACAAN KANAK-KANAK DEMI KELESTARIAN MASA HADAPAN
USM, PULAU PINANG, 5 Disember 2022 - Persatuan pelajar RCE Sejahtera Youth (RSY) baru-baru ini telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku yang bertemakan keperluan memahami dan menjaga alam sekitar.
Persatuan pelajar yang dinaungi Pusat Kepakaran Serantau (RCE Penang) ini merupakan sebahagian dari Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM).
Buku-buku berbentuk cerita kanak-kanak telah dihasilkan oleh 11 orang pelajar serta dibimbing 2 orang pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) yang juga Felo Bersekutu RCE Penang, Dr Rohaya Abdullah dan Profesor Madya Dr Aswati Hamzah. Buku-buku ini dihasilkan dengan tujuan memupuk kesedaran, selain mampu berperanan sebagai sumber rujukan terutamanya kepada masyarakat umum, tentang betapa pentingnya usaha penjagaan alam sekitar.
Sebanyak 8 buah buku dengan tema berkaitan alam sekitar telah dihasilkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, yang juga diharap dapat membantu menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat bermula dari tahap kanak-kanak lagi.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), buku-buku yang telah dihasilkan ini menjurus ke arah Pendidikan Pembangunan Lestari (ESD). Tumpuan diberikan kepada SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 14 (Kehidupan Di bawah Air).
Buku-buku ini dihasilkan dalam ilustrasi yang menarik, berwana-warni dan dengan gaya penceritaan ringkas. Diharap kesemua hasil usaha persatuan pelajar RSY ini dapat memupuk minta membaca, selain mampu meningkatkan kefahaman tentang usaha memelihara dan memulihara alam sekitar dan penggunaan sumber alam secara berhemah.
Usaha penghasilan buku sebegini mampu membentuk pemahaman dan kreativiti pelajar, selain membina pengalaman dan kemahiran serta berpotensi sebagai sumber penjanaan kewangan.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Penyelaras RSY
- Created on .
- Hits: 1962