PENYELIDIK USM DAN JEPUN TEMUI KAEDAH HASILKAN PRODUK BAHAN BUANGAN KELAPA SAWIT BANTU TINGKAT EKONOMI
USM PULAU PINANG, 21 Nov. 2022 – Penyelidik dari Biological Resources and Post-harvest Division, Japan International Research Center for Agricultural Sciences (JIRCAS), Profesor Dr. Kosugi Akihiko dan pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. K. Sudesh Kumar berjaya menghasilkan produk dari ranting, pelepah dan batang buangan kelapa sawit menjadi produk yang boleh digunakan dalam industri.
Penyelidikan "Project on Sustainable Replantation of Oil Palm by Adding Value to Palm Oil Trunk Through Scientific and Technological Innovation" adalah projek penyelidikan Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS-OPT) di bawah Japan Science and Technology Agency dan Japan International Cooperation (JICA) yang disokong oleh pihak berkuasa dan agensi di Malaysia dan Jepun serta pihak industri.
Industri minyak sawit diklasifikasikan sebagai salah satu industri utama Malaysia dan eksport terpenting Malaysia. Pada tahun 2020, Malaysia mengeksportkan 16.2 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan kelapa sawit.
Pendapatan Malaysia pada tahun tersebut sahaja berjumlah sekurang-kurangnya RM73.3 bilion.
Ringkasnya, industri minyak sawit sahaja sudah menyumbang sekitar RM36.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Sebanyak 5.87 juta hektar tanah digunakan untuk menanam pokok kelapa sawit pada tahun 2020.
Permintaan minyak sawit secara global semakin lama semakin meningkat dan penghasilan minyak sawit juga perlu ditingkatkan untuk memenuhi permintaan pasaran.
Namun begitu, operasi penebangan hutan secara besar-besaran semata-mata untuk meningkatkan pengeluaran minyak sawit bukan penyelesaian yang terbaik.
Penanaman pokok kelapa sawit semestinya memberikan impak terhadap tahap kesuburan tanah dan biodiversiti alam sekitar. Oleh itu, terdapat keperluan untuk meningkatkan pengeluaran minyak sawit tanpa menjejaskan alam sekitar.
Hasil penyelidikan yang dilakukan bersama-sama beberapa agensi di Malaysia dan Jepun serta pihak industri telah mula diusahakan dan sedia untuk dikomersilkan secara besar-besaran.
Terdapat pihak swasta yang telah menggunakan produk ini untuk kegunaan pengeluaran produk mereka.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 465