USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RM 1.5 JUTA BANTUAN ZAKAT SARA HIDUP PELAJAR ASNAF DISALURKAN TAHUN 2022

USM, PENANG, 25 November 2022 - Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Sektor Zakat telah mengagihkan Bantuan Zakat Sara Hidup fasa pertama berjumlah RM 753,400.00 dan fasa kedua berjumlah RM 752,900.00 kepada 1364 pelajar asnaf Universiti Sains Malaysia bagi tahun 2022.

Demikian ujar Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Prof. Dr. Md. Roslan Hashim yang mewakili Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat ketika merasmikan Kempen Zakat@Pusat Islam USM Sempena Bulan Zakat Pulau Pinang Tahun 2022 di Masjid Al-Malik Khalid USM.

WhatsApp_Image_2022-11-25_at_12.19.58_PM.jpg

Jelasnya, ini menjadikan jumlah Bantuan Zakat Sara Hidup Pelajar Asnaf USM pada tahun 2022 adalah berjumlah RM1,506,300.00.

Tambahnya, begitu juga dengan bantuan kepada staf USM dan Warga Qaryah yang menerima bantuan Skim Kit Maidahturrahman. Sebanyak 660 set Kit yang berupa bekalan asas makanan telah diagihkan kepada Staf keseluruhan kampus dan Warga Qaryah Masjid Al-Malik Khalid USM.

“Pada hari ini juga merupakan hari bersejarah Pusat Islam USM apabila dapat melancarkan Sistem Bantuan Zakat Sara Hidup Pelajar USM dan dengan kewujudan sistem ini ianya dapat memudahkan pihak pengurusan dan pelajar dalam menguruskan Hal Ehwal Zakat agar lebih sistematik.

Jelasnya lagi, USM melalui Pusat Islam USM telah mewujudkan Happy Lunch@Zakat yang memperuntukan RM 15,000.00 kepada 1500 orang pelajar Asnaf berkonsepkan nilaian satu kupon RM 10.00 kepada seorang pelajar.

“Bantuan Zakat juga telah dipanjangkan kepada  pelajar daripada Negeri Sabah yang telah mengalami musibah kebakaran melalui Zakat Keinsanan yang berjumlah RM 1000.00,” tambahnya.

Beliau berterima kasih kepada pihak Pusat Islam Universiti Sains Malaysia kerana telah menyelaraskan Bantuan Zakat kepada Warga Pelajar, Staf dan Qaryah Masjid USM dan pihak USM mengharapkan Pusat Islam terus komited dalam mengembangkan agihan zakat ini kerana dalam masa yang sama ramai pihak akan mendapat faedahnya.

“Saya berharap melalui wang sumbangan zakat ini, para pelajar, staf dan warga qaryah Masjid USM yang berhadapan dengan masalah kewangan akan dapat dibantu sebaiknya. Universiti Sains Malaysia melalui Pusat Islam sentiasa peka kepada permasalah pelajar, staf dan warga qaryah Masjid USM terutamanya dalam aspek kewangan dan ekonomi,” tegasnya.

Di akhir kata, Roslan menyeru seluruh warga USM dan masyarakat luar agar sama-sama berzakat melalui Pusat Islam USM dalam memastikan kebajikan pelajar, staf dan warga Qaryah Masjid USM sentiasa terjaga kerana sebahagian pendapatan kita adalah hak orang yang memerlukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato’ Haji Amran Hazali yang hadir pula menyatakan kempen ini seiring dengan bulan zakat Pulau Pinang dan merupakan tahun keempat penganjurannya.

“Kempen ini juga bermotif untuk menyemarakkan kesedaran berzakat umat islam dan memupuk budaya berzakat,” jelasnya.

Katanya, USM hingga kini mempunyai seramai lebih 1700 staf yang telah berzakat dengan nilai melebihi 2.5 juta.

Tambahnya, berzakat juga memberi manfaat dan impak kepada pembayar dan penerima serta mencapai misi-misi yang telah digariskan dan beliau turut memberitahu terdapat 23 pengisian program pada bulan zakat ini yang berlangsung dari 3 November 2022 sehingga 15 Disember 2022.

Beliau turut memberi khutbah Jumaat pada hari ini sebelum Solat Jumaat berlangsung.

Turut berlangsung ialah Simbolik Pelancaran Sistem BZSH Pelajar USM, Penyampaian Kupon Happy Lunch Zakat@Pusat Islam USM, Penyampaian Bantuan Zakat Keinsanan dan Bantuan Zakat Sara hidup kepada pelajar USM.

WhatsApp_Image_2022-11-25_at_12.19.58_PM_1.jpg

Teks dan Foto : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 687

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024