USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

3KPP22 PLATFORM PERTINGKAT KEBOLEHPASARAN PELAJAR DAN WARGA PULAU PINANG

USM PENANG, 25 November 2022 -Tanggapan umum, apabila seseorang mahasiswa telah menamatkan pengajian dan bergelar graduan, sudah pastilah mereka akan bekerja dan memasuki alam pekerjaan sesuai dengan kelulusan yang dimiliki serta bidang pengajian yang diikuti.

Demikian ujar Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Pulau Pinang, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Hussain di Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawanan 2022 (3KPP22) negeri Pulau Pinang yang berlangsung di USM bermula 25 hingga 27 November 2022.

WhatsApp_Image_2022-11-25_at_10.39.46_AM.jpeg

Katanya Jika kita membincangkan keusahawanan sebagai kerjaya para graduan, ada sesetengah pihak beranggapan ia sebagai kerjaya pilihan terakhir disebabkan graduan tersebut sukar untuk mendapatkan pekerjaan ataupun disebabkan pencapaian pengajian yang kurang cemerlang sewaktu bergelar mahasiswa.

“Sebenarnya, kerjaya dalam bidang keusahawanan merupakan kerjaya yang menarik dan cabaran yang menanti para graduan akan menjadikan mereka individu yang lebih baik dan berdaya saing. Melalui program yang dianjurkan sebegini, saya yakin bahawa akan lebih ramai masyarakat terutamanya anak-anak muda akan menceburi bidang keusahawanan, jelasnya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan bahawa Penerapan ilmu dan budaya keusahawanan di peringkat awal pengajian dapat membolehkan bakal siswazah untuk melihat pilihan kerjaya yang boleh diterokai.

“Peranan universiti adalah penting untuk mengubah ‘mindset’ pelajar dan graduan daripada menjadi pencari kerja kepada mewujudkan pekerjaan selain pembangunan pembelajaran keusahawan yang perlu dipertingkatkan untuk mencetus minat pelajar dalam bidang ini.

“Bidang keusahawanan sangat penting dan perlu diberi perhatian kerana ia bertindak sebagai pemangkin kepada ekonomi negara. Usahawan merupakan golongan yang penting dan diterima oleh masyarakat dan negara,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman pula merakamkan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang sudi hadir dan meluangkan masa bersama-sama pada karnival ini.

“Besarlah harapan saya agar program yang dirancang ini akan mampu memberi manfaat kepada semua pihak khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi kampus Universiti Sains Malaysia kerana banyak manfaat yang dapat kita peroleh melalui penglibatan diri dalam karnival ini,” ujarnya.

Jelasnya, kebolehpasaran graduan merupakan tonggak utama yang menjadi hasrat utama USM untuk memacu kejayaan para mahasiswa-mahasiswi dan siswazahnya pada masa hadapan.

“Karnival ini dianjurkan bertujuaan untuk membantu mahasiswa-mahasiswi menerokai peluang-peluang pekerjaan dan mendapat pendedahan awal terhadap alam pekerjaan yang bakal ditempuhi.

“Graduan yang berkualiti perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran agar dapat menggalas tanggungjawab di alam pekerjaan kelak dengan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi sebagai pelajar universiti APEX agar dapat melahirkan siswazah yang berkualiti dari segi akademik dan sahsiah,” katanya lagi.

WhatsApp_Image_2022-11-25_at_10.39.46_AM_1.jpeg

Beliau turut menasihatkan pelajar USM bahawa mereka perlu mempersiapkan diri bagi memantapkan lagi kemahiran insaniah dalam diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Karnival ini dapat menjadi sebahagian daripada platform kepada bakal graduan dalam membantu kebolehpasaran mereka pada masa hadapan.

Akhir kata, beliau berharap Kerjasama antara pihak universiti dengan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang terlibat pada tahun ini berupaya menjadi sumber perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berguna kepada bakal graduan dan siswazah pada masa hadapan.

Lebih dari 50 syarikat turut serta dalam karnival ini di samping pelbagai gerai pameran usahawan.

Teks dan Foto : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 638

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024