USM ANJUR FORUM MEJA BULAT UNIVERSITI AWAM; CAPAI RESOLUSI TANGANI CABARAN GANGGUAN SEKSUAL
USM PULAU PINANG, 24 November 2022 – Gangguan seksual adalah satu bentuk keganasan berasaskan gender yang menghalang mangsa menikmati hak asasi manusia dan hasil pembangunan secara adil dan saksama. Isu ini telah lama menjadi cabaran dalam ruang pekerjaan dan pendidikan di Malaysia. Beberapa kes di Universiti Awam (UA) pernah dilaporkan melibatkan staf dan pelajar di institusi tersebut.
Menyedari akan permasalahan ini, Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual (JTGS) Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah ditubuhkan pada tahun 2013 mengambil inisiatif menganjurkan satu Forum Meja Bulat Gangguan Seksual Universiti Awam Malaysia yang julung kalinya diadakan untuk membincangkan pengendalian kes gangguan seksual dengan lebih berkesan.
Forum ini yang dirasmikan oleh Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat telah diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM, baru- baru ini dan melibatkan 14 UA seluruh Malaysia.
Objektif forum ini diadakan adalah untuk berkongsi pengalaman dan penyelesaian bagi menghasilkan satu resolusi yang akan membantu UA mengendalikan isu gangguan seksual secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek keadilan dan kesaksamaan kepada pihak yang terlibat.
“Penghapusan gangguan seksual adalah sebahagian daripada sasaran dalam matlamat pembangunan mampan yang menjadi komitmen semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia. Matlamat ini menekankan penghapusan segala bentuk keganasan terhadap wanita dan menyeru negara anggota PBB memastikan keadaan pekerjaan yang bermaruah,” ujar Narimah dalam ucapannya.
Tambahnya lagi; “Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama daripada Universiti-Universiti Awam yang menghantar wakil ke forum hari ini. Saya berharap kita dapat berbincang dan berkongsi dengan cara yang terbuka dan membina bagi menyelesaikan isu ini.”
Turut hadir ialah Pengerusi JTGS USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Forum Meja Bulat Gangguan Seksual UA Malaysia, Profesor Dr. Hajar Abdul Rahim; Timbalan Pengerusi JTGS USM, Profesor Dato’ Dr. Noraida Endut; Profesor Kehormat merangkap Penceramah Forum Meja Bulat Gangguan Seksual, Profesor Emerita Dato’ Dr. Rashidah Shuib; Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Senutha Poopale Ratthinan dan Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang, Ahmad Shukri Jamaluddin.
Teks: Nurhidayah Shahbudin
- Created on .
- Hits: 569