USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SYARAHAN UMUM: PROFESOR DR. ZAFARINA ZAINUDDIN, PENSYARAH PERTAMA DI MALAYSIA DENGAN KELULUSAN PHD DALAM BIDANG DNA FORENSIK

PULAU PINANG, 24 November 2022 – Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan sesi syarahan umum pelantikan profesor yang dibentangkan oleh Profesor Dr. Zafarina Zainuddin bertajuk “Pemprofilan DNA: Aplikasi dalam Forensik dan Asal Usul Manusia.”

Zafarina memulakan tugas sebagai pensyarah Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM selepas berjaya menamatkan PhD pada April 2004. Beliau merupakan PENSYARAH PERTAMA di Malaysia dengan kelulusan PhD dalam bidang DNA Forensik.

Zafarina juga bertanggungjawab dalam penubuhan dan pembangunan Human Identification/DNA (HID/DNA) Unit di Pusat Pengajian Sains Kesihatan sejak tahun 2008 yang merupakan sebuah makmal persendirian pertama di Malaysia yang memperolehi akreditasi ISO: 17025 untuk ujian DNA (paterniti). Dengan ini USM merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang mempunyai makmal ini. 

Syarahan Zafarina menyentuh tentang ujian DNA yang digunakan untuk mengenalpasti profil bagi setiap individu. Proses ini penting kerana dapat membantu menyelesaikan kes jenayah atau orang hilang, pengesahan hubungan antara ibu/bapa dengan anak dan penentuan keturunan seseorang. 

“DNA atau Deoxyribonucleic acid, iaitu rantaian helix ganda-dua mengandungi arahan penting bagi setiap organisma hidup. Ia mengandungi 4 bes nitrogen: A, G, T, C; yang mengkod semua maklumat dan arahan genetik. Kod genetik ini diperlukan untuk pembentukan dan fungsi organisma,” ujar Zafarina dalam syarahannya.

Tambah beliau, “Kod genetik yang berbeza antara organisma/spesies menjadikan ia berbeza antara satu sama lain. Bahagian DNA tertentu ini akan digunakan untuk mendapatkan profil individu. Setiap manusia mempunyai profil DNA yang berbeza kecuali kembar seiras,”

Majlis yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM ini turut dijalankan secara langsung melalui pautan Facebook dan Youtube rasmi USM.      

Turut hadir ke sesi ini ialah Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali; Mantan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, FASc.; Mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Haji Zakaria dan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman.     

Teks: Nurhidayah Shahbuddin                                                                                                                                                                                              

  • Created on .
  • Hits: 1108

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024