USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA USM-JJ HYGROWTECH SDN. BHD. MARTABATKAN AGRO-KEUSAHAWANAN DALAM KALANGAN PELAJAR

IMG 0044

USM PULAU PINANG, 19 Nov. 2022 – Menyedari akan kepentingan pendidikan keusahawanan untuk membekalkan pelajar dengan peluang dan potensi bagi memilih kerjaya sebagai usahawan, Pusat Rancangan Kokurikulum Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan bidang Agro-Keusahawanan kepada pelajar-pelajar USM sebagai salah satu bidang yang boleh diterokai.

Justeru itu, Pusat Rancangan Kokurikulum USM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama JJ Hygrowtech Sdn. Bhd. bagi kerjasama dalam Program Agro-Keusahawanan Pusat Rancangan Kokurikulum pada 10 November 2022 yang lalu.

Selaras dengan hasrat USM, kerjasama tersebut bertujuan untuk melahirkan usahawan-usahawan dalam kalangan pelajar khususnya mereka yang mengikuti kursus Teras Keusahawanan sebagai pencipta kerja (job creator) yang berpotensi dan bukan sebagai pencari kerja (job seeker) semata-mata.

Kerjasama antara USM dan JJ Hygrowtech Sdn. Bhd. diharap dapat membantu pelajar dari segi menguruskan perniagaan berorientasikan agro seperti penggunaan sistem penanaman menggunakan solar, kaedah penyediaan baja, penjagaan dan pengawasan, kaedah penjualan, promosi berkesan dan pelbagai lagi.

Selain itu, penanaman agro melalui penggunaan tenaga solar merupakan konsep pembangunan lestari yang sentiasa menjadi matlamat utama USM, yang mana konservasi dan preservasi terhadap ekosistem USM amat penting supaya semua masyarakat kampus sedar tentang kesan terhadap kemusnahan persekitaran yang juga memberi impak terhadap sosial dan ekonomi.

Kedua-dua pihak menyeru supaya mahasiswa USM perlu berani mencuba sesuatu yang baharu, sanggup mengambil risiko, bekerja keras untuk memajukan diri dengan hasil usaha sendiri. Hakikatnya peluang untuk memajukan diri dan keluarga sangat terbuka luas dalam bidang Agro-Keusahawanan.

Dalam hal ini, pihak JJ Hygrowtech Sdn. Bhd. akan menjalankan aktiviti meningkatkan pengetahuan termasuk latihan asas atau lanjutan serta membangunkan dan berkongsi pengalaman bersama pelajar untuk berjaya sebagai usahawan.

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM bersama Pengarah JJ Hygrowtech Sdn. Bhd., Mohamed Jauhari Mohamed Jalil, disertai Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, dan Pengarah Urusan JJ Hygrowtech Sdn. Bhd., Mimi Suzi Natasha Rosli.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 875

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024