USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

VARIASISWA USM 2022 KEMBALI LEBIH MERIAH SELEPAS DUA TAHUN COVID-19; SERLAH BAKAT PELAJAR TAHUN SATU

USM 0931

USM PULAU PINANG, 17 Nov. 2022 – Selepas dua tahun berdepan dengan pandemik COVID-19 yang menyekat pelbagai aktiviti bersemuka/fizikal secara besar-besaran yang melibatkan penyertaan secara langsung pelajar di dalam kampus, Variasiswa 2022 Universiti Sains Malaysia (USM) kembali lebih meriah dengan persembahan yang amat menarik daripada pelajar-pelajar Tahun Satu Sidang Akademik 2022/23.

Variasiswa 2022 yang berlangsung pada 4 November 2022 menyaksikan ribuan pelajar dan warga kampus membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra, USM.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman, yang hadir sebagai tetamu utama USM, menyifatkan Malam Variasiswa itu suatu pentas yang amat baik untuk pelajar baharu mengetengahkan bakat masing-masing seterusnya mengeratkan lagi hubungan antara mereka dengan pelajar senior.

Variasiswa yang berbentuk pertandingan melibatkan persembahan nyanyian, lakonan, muzik dan sajak dalam kalangan pelajar Tahun Satu, mewakili setiap lapan desasiswa penginapan USM dari tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.

Antara desasiswa penginapan yang menyertai pertandingan tersebut adalah Desasiswa Tekun, Desasiswa Restu, Desasiswa Indah Kembara, Desasiswa Saujana, Desasiswa Aman Damai dan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan dari Kampus Induk; manakala, Desasiswa Jaya Lembaran dari Kampus Kejuruteraan dan Desasiswa Murni Nurani dari Kampus Kesihatan.

Dengan bertemakan ‘Back To Campus’, persembahan para pelajar itu perlu mempunyai unsur budaya dan norma baharu dalam kehidupan seharian di kampus selepas negara mengalami pandemik COVID-19.

Menurut Pengarah Projeknya, Muhammad Zikri Rosle, pelajar Tahun 4, Sastera dengan Pendidikan, menerusi pertandingan ini, ia dapat memperlihatkan semangat pelajar baharu dalam menonjolkan bakat dan menjadi pelapis untuk universiti khususnya dalam aspek persembahan nyanyian, lakonan, muzik dan tarian.

USM 0898

“Bagi saya dan juga rakan-rakan saya yang lain yang terlibat dengan penganjuran program ini di bawah bimbingan Pusat Pembangunan Bakat (TDC) yang diterajui oleh Pengarahnya yang juga Pegawai Kebudayaan di BHEPA USM, Zulkifli Che Hussin, kami dapati program Variasiswa ini merupakan suatu pentas yang amat sesuai untuk pencarian bakat baru dalam kalangan pelajar Tahun Satu di samping membolehkan mereka membina hubungan dengan warga kampus.

“Pertandingan Variasiswa kali ini agak luar biasa mungkin disebabkan dua tahun kita tidak ada aktiviti fizikal sebegini dan kali ini juga kami turut mendapat bantuan dan sokongan dari pihak Program Pembimbing Siswa Lestari (PPSL) yang membimbing peserta sama ada dari sudut persembahan mahupun persediaan keperluan lain,” katanya.

Desasiswa Tekun telah menjuarai pertandingan tersebut selepas lima tahun gelaran itu disandang desasiswa penginapan lain.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab. Rahim

  • Created on .
  • Hits: 736

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024