USM DAN INDUSTRI RASMI SiLVER LAB UNTUK PESARA TEROKA TEKNOLOGI DAN KEMAHIRAN DIGITAL
USM PULAU PINANG, 15 Nov. 2022 – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlinda Azman merasmikan SiLVER Lab, sebuah ruang intergenerasi dalam komuniti USM bagi menyediakan peluang kepada warga yang berusia 55 tahun ke atas untuk berinteraksi dengan generasi muda terutamanya pelajar dalam meneroka teknologi dan peranti digital baharu secara kreatif.
SiLVER Lab ini dibangunkan hasil kerjasama Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), USM dan Amanz Media Sdn. Bhd. untuk menyediakan persekitaran yang optimum bagi memangkin warga emas untuk bergiat aktif dalam pelbagai bidang kemahiran terutamanya dalam bidang teknologi, menggalakkan penuaan aktif dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas khususnya warga pesara USM.
Hadir sama di majlis yang berlangsung pada 31 Oktober 2022 itu ialah Pengarah PTPM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Yang Dipertua Kelab Jasa Budi USM, Dato’ Azman Abdullah; Dekan Fakulti Multimedia Kreatif Multimedia University (MMU), Dr. Lim Kok Yoong dan Ketua Pegawai Eksekutif Amanz Media Sdn. Bhd., Ikhwan Nazri Mohd Asran.
Dalam ucapan alu-aluannya, Wan Ahmad Jaafar berkata, penuaan penduduk adalah suatu fenomena yang dialami oleh semua negara di dunia ini. Di Malaysia, penduduk yang berumur 60 tahun ke atas dijangka akan mencapai 10% atau 3.4 juta menjelang tahun 2030.
“Oleh itu, adalah wajar untuk mewujudkan lebih banyak inisiatif untuk memperkasakan warga emas bagi memastikan penuaan yang sihat, aktif dan produktif.
“Antaranya adalah usaha meningkatkan “Active Aging” dengan penambahan ilmu pengetahuan, dan kemahiran untuk warga emas, serta penyediaan persekitaran yang mesra umur,” tambahnya lagi.
Idea SiLVER Lab ini bermula daripada projek Bengkel Teknologi Senior yang diketuai oleh Pensyarah Kanan PTPM, Dr. Tan Yun Yi.
Menurut Yun Yi, projek ini merupakan salah satu strategi untuk meningkatkan penglibatan and kesepaduan antara generasi serta organisasi, hasil kolaborasi dan perkongsian pintar antara institut pengajian tinggi awam (USM), institut pengajian tinggi swasta (MMU) dan juga pemain industri (Amanz Media) dalam membangunkan potensi warga emas di Malaysia yang menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan negara.
“Sejak tahun 2019, Bengkel Teknologi Senior yang terdiri daripada pensyarah muda dan staf sokongan dua buah institusi – USM dan MMU, telah merantau ke empat buah negeri di Malaysia iaitu Selangor, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang untuk mempelajari keperluan warga emas di Malaysia dalam menggunakan peranti mudah alih serta aplikasi teknologi.
“Selain itu, bengkel tersebut juga membantu golongan warga emas di PPV USM sepanjang pusat vaksin beroperasi ketika pandemik untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam penggunaan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya.
Kelengkapan dan reka bentuk SiLVER Lab tajaan Amanz Media yang berkonsepkan “learning café” ini merupakan cetusan idea pensyarah daripada PTPM, Pusat Pengajian Seni, Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM.
Kata Yun Yi lagi, PTPM mengalu-alukan penyertaan dan kedatangan warga yang berusia 55 tahun ke atas dalam program-program yang dianjurkan di SiLVER Lab nanti.
“PTPM juga mempelawa para pelajar dan pensyarah yang berminat untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan di SiLVER Lab. Siri program pertama yang terdiri daripada 8 sesi bengkel bakal dimulakan pada bulan Disember melalui Geran Sumbangan UNESCO Malaysia dan Amanz Media Sdn. Bhd.,” ulasnya lanjut.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Dr. Tan Yun Yi, Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), 11800 USM Pulau Pinang. Tel: 04-653 3222; Emel:
Layari laman media sosial Bengkel Teknologi Senior dan SiLVER Lab di:
FACEBOOK - https://www.facebook.com/btsenior
INSTAGRAM - https://www.instagram.com/silverlab.usm
Teks & Foto: Dr. Tan Yun Yi/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 949